Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Mengenai Kami

Mengenai Kami

Visi & Misi

Visi

Memberi peluang kepada masyarakat bawahan untuk bersuara – itulah objektif Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Dan itulah yang telah kami jalankan sejak penubuhan CAP dalam tahun 1970.

CAP adalah sebuah pertubuhan pengguna yang mempunyai pelbagai fungsi. Berjuang untuk mendapatkan harga yang berpatutan dan barangan bermutu serta perkhidmatan baik hanyalah merupakan sebahagian daripada aktiviti kami. Perhatian utama kami ialah memastikan hak setiap pengguna mendapatkan keperluan asas seperti makanan, perumahan, penjagaan kesihatan, kemudahan kebersihan, pengangkutan awam dan alam sekitar yang bersih. Kami mahu menggalakkan masyarakat – terutamanya golongan miskin yang keperluannya sering diabaikan – semangat dan keyakinan untuk menyampaikan masalah mereka kepada kerajaan, orang ramai dan syarikat-syarikat swasta yang menindas mereka.

Melalui penyelidikan, aktiviti-aktiviti pendidikan dan perwakilan, kami berharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai dari semua peringkat: dengan itu penggubal dasar dalam kerajaan melihat bagaimana dasar pembangunan mereka menjejaskan rakyat biasa, dan memberi keutamaan kepada keperluan asas; supaya rakyat biasa berfikir secara lebih kritikal dan mempunyai kekuatan untuk menentang kecenderungan dan amalan (contohnya merokok, berjudi) yang hanya boleh menjadikan kehidupan mereka lebih serba kekurangan.

Misi

Menggalakkan dan berusaha untuk masyarakat yang lebih adil dan alam sekitar yang lebih baik.  

Objektif

• Untuk mendidik pengguna, mengimbangi keperluan pengguna dan melindungi serta menyediakan hak pengguna berkaitan.

• Untuk menasihati individu pengguna dan melindungi hak mereka.

• Untuk memastikan harga barangan berpatutan dan dan wajar dengan nilai dan kualitinya.

• Untuk bekerjasama dengan undang-undang sedia dalam usaha untuk melindungi kepentingan pengguna dan kesihatan umum.

• Untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dan warga negara (pengguna) dalam mempertimbangkan, piawaian dan peruntukan asas hak mereka.

• Untuk bekerjasama ke arah memastikan pengeluaran produk yang berkualiti tinggi.

• Untuk mengkaji naik turun pasaran berkaitandengan faktor yang menjejaskannya dan menasihati atau membuat saranan kepada kementerian dan organisasi terlibat dalam perniagaan dan sektor komersial.

• Untuk menjalankan aktiviti seperti menerbitkan buletin dan senarai harga siling serta membentuk organisasi pasaran dan kelab pengguna.

Bahagian

Untuk menjalankan pelbagai aktiviti itu, CAP mempunyai bahagian-bahagian berikut:

BAHAGIAN PENYELIDIKAN
 
• Mempunyai pelbagai bahagian kecil, setiap satunya menumpukan perhatian kepada isu-isu khusus seperti kesihatan dan pemakanan, keselamatan makanan dan barangan, farmasi, keperluan asas, masalah persekitaran, penyelewengan pasaran, kewangan, hak-hak pekerja, amalan pengiklanan tidak beretika, budaya dan gaya hidup serta isu-isu yang berkaitan dengan wanita.
• Kajian dan tinjauan mengenai isu-isu ini dijalankan dan kadangkala, ujian-ujian dijalankan untuk memastikan keselamatan dan mutu barang makanan serta barangan pengguna.

BAHAGIAN KOMUNITI DAN LUAR BANDAR

• Bekerja dengan komuniti seperti pekerja ladang, nelayan, petani, pekebun kecil getah, penyewa dan setinggan dan sebagainya dan membantu mereka menyuarakan masalah yang berhubung dengan mata pencarian dan keadaan kehidupan mereka.
• Juga menyediakan pendidikan asas pengguna mengenai isu-isu seperti makanan, cara pemakanan yang baik dan kesihatan. Ini dijalankan melalui ceramah, perbincangan, memberi nasihat dari rumah ke rumah, pertunjukan slaid dan pameran.

BAHAGIAN PENDIDIKAN

• Menyediakan pendidikan pengguna kepada banyak kumpulan, termasuk pelajar-pelajar sekolah dan maktab, guru, wanita dan kumpulan belia serta pertubuhan agama. Menganjurkan seminar, bengkel, pameran dan pertandingan drama mengenai isu-isu pengguna.
• Perhatian diberikan khususnya kepada pelajar-pelajar sekolah kerana mereka adalah bakal ibu bapa dan penggubal dasar. Bahagian ini telah membantu menubuhkan kelab-kelab pengguna di lebih 200 buah sekolah di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain.
• Melalui program pendidikan penggunanya, CAP berharap akan lahirlah sebuah generasi masyarakat baru yang lebih peka, mengambil berat dan bertanggungjawab.

BAHAGIAN ADUAN   

• Mengendalikan aduan orang ramai mengenai segala jenis isu misalnya barangan dan perkhidmatan bermutu rendah, pencampuran makanan dan masalah penyewaan. Kira-kira 3,000-4,000 aduan diterima setiap tahun melalui pos, telefon dan kunjungan peribadi daripada pengguna yang teraniaya.

BAHAGIAN UNDANG-UNDANG

• Mengendalikan kes-kes kepentingan awam dan mewakili masyarakat yang memerlukan bantuan guaman.
• Bekerja erat dengan Bahagian Aduan untuk menyediakan nasihat undang-undang kepada pengguna dan mengawasi undang-undang yang menjejaskan pengguna.

BAHAGIAN PENERBITAN

• Menerbitkan akhbar CAP, Utusan Pengguna. Akhbar Utusan ini mempunyai empat edisi – Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Cina dan Tamil. Akhbar-akhbar ini diterbitkan dua bulan sekali.
• Menerbitkan majalah dua bulan sekali untuk kanak-kanak sekolah rendah yang dinamakan Majalah Pengguna Kanak-Kanak.
• Bekerjasama dengan bahagian-bahagian lain untuk menerbitkan buku, laporan dan risalah mengenai pelbagai isu pengguna. Turut menghasilkan peralatan pendidikan dan poster-poster untuk edaran kepada orang ramai dan untuk kegunaan semasa program pendidikan CAP.

BAHAGIAN MEDIA

• Menghasilkan dan menyelenggarakan alat-alat pandang dengan (video, kaset, dan slaid) untuk kegunaan semasa program pendidikan CAP.
• Menyelaras kempen-kempen utama CAP misalnya kempen antimerokok dan antialkohol.

PERPUSTAKAAN

• Menyimpan pelbagai buku, jurnal, laporan dan risalah serta keratan akhbar untuk keperluan rujukan pelbagai bahagian di CAP.

Hubungi kami

Emel: JLIB_HTML_CLOAKING

PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG (CAP)

10, Jalan Masjid Negeri,
11600 Pulau Pinang,
Malaysia.

BAHAGIAN PEMASARAN
48-E, Jalan Sultan Ahmad Shah,
10050 Pulau Pinang.
Malaysia.

TELEFON:
04-8299511 (Pejabat)
04-2263511 (Pemasaran)

FAKS:
04-8298109 (Pejabat)
04-2268106 (Pemasaran)

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt