Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil membantah ratifikasi Perjanjian Perdagangan Trans-pasifik (CPTPP)

Kami, organisasi-organisasi yang bertandatangan di bawah secara konsisten ingin mengingatkan Kerajaan Malaysia tentang implikasi serius kepada negara akibat daripada daripada perjanjian Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) yang buat masa ini hanya menangguhkan secara sementara 22 daripada lebih daripada 1000 syarat yang kebanyakannya adalah peninggalan perstujuan oleh Amerika Syarikat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum ini; dimana mereka sendiri telah menarik diri darinya.

Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking mengesahkan dalam kenyataannya pada 4 Ogos 2020 bahawa pada 29 November 2019, Kabinet (yang juga termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali) "bersetuju bahawa Kerajaan telah mengambil langkah yang baik dengan tidak memeterai perjanjian CPTPP kerana ia akan memberi kesan-kesan sangat negatif kepada industri domestik”. Ini berikutan "penilaian dan penyelidikan selama lebih dari setahun" berdasarkan keputusan awal Kabinet pada 5 September 2018 dan 9 Januari 2019 sebelum itu.

Oleh itu, kami bertegas pendirian Kerajaan sekarang haruslah konsisten dalam menolak CPTPP.

Datuk Darell Leiking menyatakan bahawa Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) yang kini dikenali sebagai Unit Perancang Ekonomi (EPU) (EPU) yang ketika itu diterajui Datuk Seri Azmin Ali, mendapati CPTPP akan memburukkan keseimbangan dagangan Malaysia, menyebabkan kehilangan hasil dari tarif dan mendedahkan negara risiko lebih tinggi kepada Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (Investor-State Dispute Settlement [ISDS]) yang boleh mengakibatkan kerajaan Malaysia terpaksa membayar pampasan berbilion dollar.

Kami menyambut baik keputusan Kabinet pada 31 Julai 2019 untuk menolak ISDS secara prinsip dan kejayaannya mengeluarkan ISDS dari Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP). Walau bagaimanapun, ISDS serta segala masalah yang ditimbulkannya masih ada di dalam perjanjian CPTPP sebagai satu legasi persetujuan yang tidak bijak.

Penyelidikan dan analisis kami terhadap teks CPTPP merangkumi permasalahan yang telah dinyatakan oleh Datuk Darell Leiking serta pelbagai syarat yang bermasalah di dalam CPTPP antara lain seperti mewajibkan petani membayar royalti benih tanaman selama 20 atau 25 tahun dan melarang mereka berkongsi benih tanaman, sekatan subsidi kepada warga nelayan, mengancam perkembangan perusahaan kecil dan sederhana, serta melemahkan hak perlindungan para pengguna berdasarkan peraturan kewangan e-dagang.

Pihak kami telah lama memohon supaya kajian-kajian komprehensif mengenai kesan CPTPP dilakukan dan kami berpuas hati apabila beberapa kajian tambahan telah dijalankan.

Kami juga menekankan bahawa CPTPP kini tidak lagi bersesuaian dengan perubahan situasi semasa. Rundingan dan pemeteraian perjanjian CPTPP pada masa lepas adalah berbeza dengan dunia sekarang yang sedang berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19. Ketua saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran bahawa pandemik COVID-19 akan mengambil masa empat hingga lima tahun untuk berjaya dikawal, dan Ketua Pengarahnya menyatakan bahawa “there will be no return to the old normal for the foreseeable future” (“dijangka tiada kemungkinan untuk kembali kepada norma dahulu dalam masa terdekat”). Dengan krisis ekonomi yang telah bermula sebelum

berlakunya pandemik ini, dunia sekarang menghadapi cabaran-cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan kerajaan mengambil langkah-langkah baharu yang tidak pernah diambil sebelum ini untuk menangani krisis ekonomi dan COVID-19.

Kerajaan amat memerlukan ruang maksimum untuk membuat polisi bagi menangani krisis pandemik dan membantu memulihkan ekonomi negara. Namun, pemeteraian CPTPP akan menyekat ruang membuat dasar dan undang-undang serta peraturan yang perlu diambil untuk menangani wabak dan krisis yang sedang berlaku. Sebagai contoh, beberapa langkah yang diambil Kerajaan Malaysia untuk menangani pandemik ini (dan mungkin perlu diambil pada masa hadapan) berkemungkinan boleh dan telah melanggar syarat-syarat CPTPP.

Negara-negara yang telah meratifikasi CPTPP seperti Australia telah melanggar komitmen perjanjian CPTPP disebabkan keperluan untuk menangani krisis ekonomi dan pandemik. Australia kini telah menyaring semua pelaburan asing walaupun di bawah CPTPP, ia hanya akan menyaring pelaburan melebihi A$ 252 juta (kira-kira RM760 juta) – ini adalah untuk memastikan bahawa pada situasi krisis sebegini pelabur asing tidak membeli asset-asset Australia.

Bahkan sebelum berlakunya wabak ini, kajian kos-faedah telah mendapati pemeteraian CPTPP ke Malaysia adalah satu perjanjian yang merugikan. Satu-satunya bahagian yang diharapkan mampu memberi keuntungan kepada Malaysia melalui perjanjian CPTPP adalah melalui penambahan produk-produk eksport, tetapi bahkan dalam bahagian ini sekalipun, imbangan perdagangan (Balance of Trade) Malaysia akan bertambah buruk menurut EPU. Oleh itu, berdasarkan pada bahagian-bahagian lain CPTPP, kos atau impak negatif kepada negara adalah mengatasi keuntungan termasuk dalam hal berkaitam pelaburan, harta intelek, perkhidmatan, perdagangan elektronik, perolehan kerajaan, perusahaan milik negara (SOE/GLC) dan lain-lain.

Malaysia harus menolak untuk memeterai perjanjian CPTPP kerana analisia kos manfaat menunjukkan kerugian terhadap negara adalah mengatasi keuntungan walaupun jika pandemik COVID-19 tidak berlaku sekalipun. Dalam situasi pendemik, sekatan-sekatan CPTPP akan menghalang kapasiti Malaysia untuk mewujudkan polisi dan inisiatif baharu dan bersesuaian dalam menghadapi krisis ekonomi dan pandemik semasa, mahupun pandemik dan krisis pada masa hadapan

Kami berasa terkejut apabila Datuk Seri Azmin Ali yang pernah berada dalam pelbagai mesyuarat Kabinet membincangkan CPTPP, dan pada ketika itu, Kementeriannya telah mengetahui sepenuhnya kesan buruk CPTPP terhadap negara, kini bersedia untuk mengikat Malaysia dengan satu perjanjian yang tidak menguntungkan negara. Ini adalah perkara yang terakhir kita perlukan terutamanya pada situasi ekonomi yang bergolak kini.

Keputusan Kabinet Malaysia pada 29 November 2019 jelas berpendirian untuk tidak meratifikasi perjanjian CPTPP. Ini telah dibuktikan dengan krisis pandemik yang sedang melanda dunia dan mengesahkan tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh sekumpulan besar masyarakat sivil Malaysia. Kerajaan sekarang dan masa hadapan Malaysia harus berdiri teguh dengan keputusan untuk tidak meratifikasi CPTPP.

Di tandatangani oleh:

Persatuan Pengguna Pulau Pinang, IDRIS Association, Majlis Tindakan Economic Melayu (MTEN), Malaysian Women's Action on Tobacco Control and Health (MyWaTCH), Padi Rescue, Parti Socialis Malaysia, PeSAWAH, Positive Malaysian Treatment Access and Advocacy Group (MTAAG+), PT Foundation, Sahabat Alam Malaysia

 

Surat Bertandatangan Kepada Editor, 7 Ogos 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt