Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Pelbagai Alasan

Sebagai pembeli kita pasti pernah membeli sesuatu barang tanpa berfikir panjang namun berasa menyesal kemudian. Anda mungkin masih belum memakai gaun malam yang dibeli ketika jualan murah setahun lalu kerana merasakan warnanya terlalu terang. Anda kurang menyukainya namun rakan anda bertegas menyatakan berbaloi membelinya dan warnanya tidak  terlalu terang tetapi “mengikut fesyen”. Kini setiap kali anda membuka almari, anda teringat kepada wang yang dibazirkan untuk membeli gaun tersebut.

 

Kami menemubual beberapa orang pembeli dan mendapati 12 “alasan” yang diberikan oleh pengguna untuk mewajarkan wang yang dibelanjakan.

 

1. Saya diharap berbuat demikian ...  Ramai yang berbelanja mengikut apa yang diharapkan daripada mereka. Misalnya seorang profesional mungkin berasa dia perlu memandu Toyota Vios, bukannya Proton Saga. Ramai yang akur kepada perkara ini kerana berasa bimbang apa yang akan dikatakan oleh saudara, rakan atau jiran jika tidak berbuat seperti jangkaan mereka.

2. Semua orang di kejiranan saya memilikinya .... Anda sudah tidak cukup waktu untuk menonton rancangan percuma di TV tetapi kini anda melanggan Astro semata-mata kerana saudara dan rakan anda melanggannya. Ternyata perbuatan ini hanya membazirkan wang.

3. Saya perlu membelinya kerana jurujual begitu baik dan saya sudah menghabiskan banyak masa beliau... Pembantu jualan tidak dijangka untuk membuat jualan dengan setiap pelanggan atau pembeli. Oleh itu cukuplah sekadar mengucapkan terima kasih dan minta maaf tidak menepati apa yang anda inginkan.

4. Kos membaiki peralatan yang lama menggunakan banyak wang ... Jangan mengandaikan  tidak berbaloi untuk membaiki peralatan lama. Cubalah dapatkan anggaran kos pembaikan sebelum memutuskan untuk membeli peralatan baharu.

5. Produk  itu sungguh cantik .... Mungkin benar tetapi harganya tentu mahal dan anda pula tidak begitu memerlukannya. Jangan terpengaruh dengan pembelian spontan.

6. Ia merupakan peluang sekali seumur hidup ... Mungkin benar tetapi untuk siapa? Ia mungkin merupakan model terakhir bagi penjual menghapuskan produk yang sudah lapuk apabila model terbaharu membanjiri pasaran dalam tempoh beberapa tahun.

7. Saya sudah letih membeli-belah dan kaki saya sakit ... Oleh itu, pulang sahaja ke rumah dan sambung semula belian anda pada hari lain. Elakkan membeli sesuatu yang akan mengoyak dompet anda berbanding kaki yang sakit sekarang.

8. Perdamaian dalam keluarga ...  mungkin tapi apa kosnya?  Bukankah lebih baik mendidik ahli keluarga mengenai semangat bertolak ansur dan bukannya membeli TV baharu untuk mengelak perbalahan?

9. Cuma sekali ini sahaja dan untuk diri sendiri ... Mungkin, tetapi cuma jika anda tidak menggunakan alasan ini sejak beberapa bulan lalu dan pembelian itu tidak menelan bajet keluarga.

10. Saya tahu saya tidak mampu tetapi ... jika tidak mampu, jangan beli.

11. Ia bukanlah barang yang saya mahu tetapi ... Tidak ada tetapi, pastikan apa yang anda sememangnya hendak beli. Jika tidak, ia tidak akan menepati matlamat asal anda dan anda terpaksa membeli lagi mengikut rancangan asal.

12. Kenapa tidak? Kerana anda akan hanya membazirkan wang, itulah sebabnya anda tidak patut membelinya.

Jadilah pembelanja yang bijak: jangan mudah terpengaruh kepada pujuk rayu dan elakkan belian yang tidak perlu. Tetapi selain kelemahan anda sendiri, ketahuilah jangan mudah terpedaya dengan tipu helah dan gimik yang digunakan oleh pengeluar dan penjual untuk melariskan barangan mereka.

Petikan dari Buku WANG terbitan CAP.

http://pengguna.org.my/index.php/utama/buku/product/view/6/109

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt