Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Menteri Pertanian melancarkan Projek Pertanian Bandar CAP

Dorongan Diperlukan untuk Menggerakkan Pertanian Bandar

Ucapan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, SM Mohd Idris, di perlancaran Projek Pertanian Bandar CAP

Pertanian bandar semakin berkembang di seluruh dunia, sama ada diusahakan secara sendiri mahupun secara komuniti. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru kerajaan Malaysia untuk mempertingkatkan sokongan kepada komuniti dan individu untuk bergerak ke arah mengusahakan tanaman makanan di bandar.

Pertanian bandar dan pinggir bandar adalah dalam bentuk penanaman sayur di belakang rumah, di atas bumbung dan di balkoni. Mengusahakan tanaman secara komuniti pula dilakukan di kawasan kosong, lapang atau taman, menanam pokok di tepi jalan dan ternakan dibiarkan meragut rumput di kawasan terbuka. Kira-kira 15% daripada makanan dunia dilaporkan kini diusahakan di kawasan bandar. Pertanian bandar bukan sahaja menggalakkan jaminan bekalan makanan malah menyediakan makanan berkhasiat yang bebas kimia yang ditanam di kawasan rumah atau berhampiran. Apabila isirumah menghasilkan makanan sendiri, perbelanjaannya boleh dikurangkan, bermakna mereka boleh menyimpan lebih banyak wang terutama bagi isirumah yang miskin. Di India, golongan setinggan mengusahakan pertanian di bandar untuk meningkatkan jaminan makanan bagi komuniti, menanam sayur-sayuran untuk memenuhi keperluan makanan mereka, dan menjual lebihannya ke pasar tempatan. Pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan di bandar Delhi dan kawasan sekitarnya membolehkan penduduk miskin di sana mendapatkan makanan yang murah dan berkhasiat, yang sebaliknya mungkin terlalu mahal untuk mereka beli.

Pertanian bandar juga menjadi trend yang semakin berkembang dalam komuniti India kelas pertengahan di mana ada di antara mereka mengusahakan pertanian di atas bumbung atau mengusahakannya secara beramai-ramai. Bagaimanapun pertanian bandar agak sukar diusahakan di kawasan padat penduduk kerana ruang yang terbatas. Oleh itu, tanah yang belum dimajukan ditukar menjadi kawasan terbuka untuk pertanian komuniti, misalnya di kawasan setinggan Ambedkar Nagar di Mumbai atau ruang kosong di kawasan rizab jalan dan simpanan sungai digunakan untuk pertanian bandar.

Ringkasan data mengenai pendapatan bersih yang dijana melalui pengeluaran sayur-sayuran di kawasan terbuka peri-bandar (pinggir bandar) dalam skala kecil-kecilan di beberapa buah bandaraya di Afrika menyimpulkan bahawa pendapatan bersih bulanan bagi pengeluar peri-bandar tersebut adalah antara US$30 hingga $70 sebulan, tetapi angka ini boleh meningkat kepada US$200 ke atas. Di negara-negara yang sama, gaji bulanan minimum adalah sekitar US$20 - $40. Ini mencerminkan bahawa pengeluaran sayur-sayuran bandar adalah suatu perniagaan yang menguntungkan berbanding pekerjaan lain di bandar (van Veenhuizen & Danso, 2007)*.

Di Amerika Syarikat, di peringkat kebangsaan terdapat Inisiatif Pertanian Penduduk (People’s Garden Initiative), Jabatan Pertanian Amerika Syarikat. People’s Garden ini pelbagai dari segi jenis dan saiz tetapi kesemuanya dikehendaki mempunyai tiga komponen yang sama. Pertama, mereka mesti memberi manfaat kepada komuniti, sama ada dengan menyediakan ruang berekreasi atau menyediakan hasil pertanian untuk bank makanan tempatan atau rumah perlindungan. Kedua, mereka mesti dibuat secara usaha sama – dibentuk dan diselenggara melalui perkongsian individu, kumpulan, atau pertubuhan setempat. Ketiga, mereka perlu menyepadukan amalan pertanian yang mapan.

Pertanian bandar bukan sahaja menggunakan tanah dan kawasan kosong secara produktif malah ia menyediakan cara yang produktif bagi penggunaan air sisa buangan dan sisa kompos yang dijana dari isirumah dan sektor perniagaan. Penjagaan kawasan lapang hijau di bandar, yang kini diguna dan diselenggarakan oleh komuniti menerusi pertanian bandar juga akan mengurangkan kos yang berkaitan bagi pihak berkuasa tempatan. Tanah (Allotment) yang diperuntukkan kepada pertanian komuniti bandar begitu popular di United Kingdom yang mempunyai lebih 300,000 plot tanah yang bersaiz di antara 50 hingga 400 meter persegi.

Menempatkan pengeluaran makanan hampir dengan kawasan bandar akan turut membantu mengurangkan jejak ekologi (ecological footprint) bandar berkenaan, mengurangkan pengeluaran asap kenderaan dan kos pengangkutan serta tenaga yang digunakan untuk mengangkut makanan dari ladang kepada pengguna. Menanam tanaman makanan anda sendiri dan pertanian komuniti juga mempunyai nilai terapeutik, membantu mengurangkan stres, menyediakan senaman dan membantu mengeratkan hubungan antara anggota masyarakat.

Kebaikan pertanian di bandar kepada kesihatan, khasiat pemakanan, jaminan makanan, persekitaran, kemasyarakatan dan ekonomi memang tidak dapat dinafikan. Sehubungan ini, CAP menggesa kerajaan Malaysia supaya mengambil langkah-langkah berikut untuk menyokong aktiviti pertanian di bandar.

i. Menyepadukan pertanian bandar di dalam dasar dan program bandar.

ii. Membina keupayaan pihak berkuasa tempatan dan pegawai-pegawai pengembangan pertanian untuk menyediakan khidmat nasihat dan kemudahan ke arah usaha-usaha pertanian bandar.

iii. Menyediakan sumber kewangan yang mencukupi sebagai kos permulaan untuk mengusahakan projek.

iv. Menyediakan kemudahan mendapatkan tanah yang sesuai untuk pertanian di kawasan bandar di lot kosong, kawasan terbuka, tanah simpanan kerajaan dan sebagainya.

v. Memperkenalkan dasar bagi membantu di dalam membuat perjanjian penggunaan dengan pemilik tanah (sama ada awam atau persendirian) yang telah dipilih untuk mengusahakan pertanian komuniti.

vi. Memperkenalkan dasar untuk menyediakan tanah negeri dan sokongan daripada majlis tempatan dalam bentuk dana atau air untuk memajukan dan mengekalkan projek pertanian baharu milik komuniti.

vii. Menyediakan latihan untuk komuniti dan individu yang berminat untuk melibatkan diri dalam projek pertanian bandar. Pertubuhan yang mempromosi dan menyediakan khidmat latihan perlu diberikan dana.

viii. Menyediakan kit pemula seperti bekas, tanah, biji benih bagi peserta berpotensi dalam projek.

ix. Memulakan latihan praktikal penanaman sayuran yang diwajibkan di semua sekolah dan pusat pengajian tinggi untuk mengembangkan pengetahuan dan menyemai minat untuk menanam tanaman makanan sendiri.

x. Memperkenalkan mekanisme sokongan dan pemantauan di peringkat kerajaan tempatan dan pejabat pertanian daerah.

Menanam tanaman makanan anda sendiri atau pertanian bandar menjadi sumber makanan yang penting bagi penghuni di bandar. Sokongan kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan amat diperlukan demi mencapai potensi penuh pertanian bandar dan sistem makanan tempatan.

S.M. MOHAMED IDRIS, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

29 Jun 2015

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menghasilkan kit pemula yang terdiri daripada pasu, tanah, benih, baja organik dan garis panduan mengenai bagaimana hendak menanam sayur-sayuran untuk memulakan pertanian bandar di peringkat isirumah. Kami juga mempunyai kit untuk pertanian menegak.


* Van Veenhuizen, R. & Danso, G. (2007). Profitability and sustainability of urban and peri-urban agriculture. FAO Agricultural Managemant, Marketing and Finance Occasional Paper No. 19. Rome: FAO

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt