Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Batalkan cadangan projek jalan mega di Pulau Pinang

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan keputusan kerajaan Pulau Pinang untuk membatalkan projek jalan mega Pulau Pinang sekiranya Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) untuk projek ini mendapati ia tidak sesuai dilaksana. Bagaimanapun kami berpandangan kerajaan seharusnya membatalkan terus cadangan projek jalan berkenaan dan tidak membazirkan dana untuk melakukan EIA kerana projek ini berpotensi membawa impak yang ketara kepada Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, YB. Lim Guan Eng dilaporkan berkata, projek jalan dengan anggaran kos RM8 billion yang dicadangkan itu akan dibatalkan jika didapati tidak sesuai  dilaksanakan. Projek yang dicadangkan termasuklah terowong bawah laut yang menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam; tiga lebuh raya – pintasan yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, hubungan antara Bandar Baru Air Itam ke Lebuh raya yang sama dan jalan dua lorong menghubungkan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang.

Pulau Pinang merupakan sebuah pulau yang terhad tanah yang sesuai untuk pembangunan. Sebahagian daripada jalan yang dicadangkan itu akan merentasi tanah bukit yang sensitif dan akan menjejaskan alam semula jadi. Seterusnya pembinaan hubungan dan jalan yang baharu akan hanya menarik lebih banyak kenderaan dan lalu lintas. Oleh itu, kita memerlukan strategi pengangkutan untuk menggerakkan orang ramai dan bukannya kenderaan.

Pada masa kini kenderaan persendirian begitu mendominasi. Kereta memerlukan banyak ruang – sebagai lalu lintas yang bergerak, ia memerlukan jalan untuk membawanya dan sebagai objek yang diparkir, ia memerlukan ruang parkir di bandar dan rumah. Ruang juga diperlukan untuk bengkel, stesen minyak dan lain-lain infrastruktur yang diperlukan oleh kenderaan persendirian ini.

Adalah satu ketidaksempurnaan untuk terus menggalakkan lebih banyak kenderaan persendirian dengan membina jalan baharu. Pengangkutan awam mampu untuk menggerakkan lebih ramai orang dengan lebih cekap dan dapat mengurangkan pencemaran dan penggunaan tenaga. Oleh itu, kerajaan perlu bergerak dengan lebih agresif ke arah memastikan pengangkutan awam yang mencukupi dan lebih cekap di negeri ini dan pada masa yang sama menggalakkan pergerakan tanpa kenderaan.

Apa yang kita ingin lihat ialah Pulau Pinang sebagai sebuah pulau dengan sistem pengangkutan awam yang cekap dan terbaik yang akan memastikan kualiti hidup yang baik bagi semua, baik penduduk mahupun pengunjung.

Siaran Akhbar - 6 Februari 2013

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt