Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kegiatan bot pukat sorong dan pukat buaya semakin aktif

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan Kedah dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah bot pukat sorong dan pukat buaya yang semakin aktif beroperasi di daerah Yan ketika ini.

Bot-bot tersebut menceroboh kawasan tangkapan nelayan pantai di sini siang dan malam menyebabkan sumber pendapatan lebih 1,000 nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan ikan dan udang teruk terjejas.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP difahamkan oleh nelayan-nelayan yang terlibat jika masalah ini tidak berlaku mereka memperolehi pendapatan antara RM100.00 hingga RM400.00 sehari berbanding sekarang hanya mendapat RM20.00 atau RM30.00 saja sehari. Kegiatan oleh bot pukat sorong dan pukat buaya ini telah menyebabkan dasar laut dan air di kawasan pantai tercemar serta berbau busuk, anak-anak ikan dan udang bersaiz kecil mati terperangkap dan pembiakan pelbagai spesies hidupan laut terancam dan kian pupus.

Masalah ini telah berulang kali dilaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil. CAP diberitahu, bot pukat sorong yang terlibat dengan kegiatan ini berpengkalan di Sungai Udang, Kuala Sungai Yan dan Kuala Dulang. Manakala bot pukat buaya pula berpengkalan di Kuala Kedah.

CAP kesal walau pun kegiatan tersebut diharamkan dan menyalahi undang-undang tetapi ia tidak diambil tindakan tegas oleh pihak terbabit sehingga sumber pendapatan dan kehidupan nelayan pantai di daerah ini menjadi serius dan meruncing.

Mengikut Akta Perikanan 1985 mereka yang menggunakan pukat sorong boleh didenda tidak melebihi RM20,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Mengenai pukat buaya CAP menggesa Jabatan Perikanan Kedah mengharamkan segera penggunaan alat tangkapan tersebut kerana ia memberi kesan amat buruk ke atas sumber perikanan dan kehidupan nelayan pantai. Sebelum ini Jabatan Perikanan Johor telah mengharamkannya kerana masalah tersebut.

CAP meminta Akta Perikanan 1985 dikuatkuasakan dengan tegas dan mencadangkan supaya peralatan tangkapan yang diharamkan penggunaannya dirampas dan dilupuskan.

Kenyataan Media - 19 Februari 2013

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt