Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Hentikan aktiviti korek pasir di perairan Kuala Muda

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah mengambil tindakan  menghentikan segera aktiviti korek pasir di perairan Kuala Muda kerana ia mengancam alam sekitar dan sumber pendapatan nelayan kawasan Tanjong Dawai dan daerah Yan di sini.

Aktiviti tersebut yang bermula sejak Julai 2012 lalu telah menimbulkan masalah pencemaran laut akibat sisa buangan lumpur dari kapal-kapal korek yang beroperasi di kawasan itu. CAP difahamkan sebanyak 6 buah kapal korek terlibat dengan aktiviti ini.

Berikutan masalah pencemaran air laut yang berlaku nelayan-nelayan di Tanjong Dawai telah mengadakan tunjuk perasaan membantah aktiviti tersebut kerana banyak pukat mereka rosak akibat terkena sisa lumpur yang dibuang ke laut.

Di Yan kira-kira 1,000 nelayan pantai di sini terjejas sumber pendapatan harian kerana ikan dan udang di kawasan pantai daerah ini semakin berkurangan kerana aktiviti korek pasir tersebut.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP difahamkan oleh nelayan terbabit sejak beberapa bulan lalu pendapatan mereka telah merosot dari lebih RM 100.00 sehari kepada RM15.00 sehari. Masalah ini berlaku kerana ikan dan udang berkurangan dan tidak dapat hidup di kawasan ini akibat pencemaran sisa lumpur yang berlaku.

Nelayan-nelayan di sini memberitahu CAP, pada siang hari kapal-kapal korek pasir di sini beroperasi jauh di laut tetapi pada waktu malam mereka beroperasi berhampiran daratan.

Selain pencemaran laut,alam semulajadi tiga buah pulau ia itu Pulau Bidan,Pulau Song-Song dan Pulau Telor di kawasan tersebut turut terjejas oleh aktiviti korek pasir ini. Dasar laut di sini  telah berlubang dan CAP bimbang akan berlaku hakisan di sekitar pulau-pulau tersebut.

Penyu belimbing yang sebelum ini kerap mendarat di pulau-pulau tersebut kini sudah tidak datang lagi di pulau berkenaan.

CAP kesal dengan kejadian ini dan merasa hairan bagaimana projek yang boleh mendatangkan kesan buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk boleh dibenarkan beroperasi tanpa kajian yang mendalam.

CAP percaya jika keadaan ini dibiarkan berterusan alam sekitar akan musnah, sumber perikanan akan pupus, sumber pendapatan dan kehidupan nelayan di kawasan ini akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

Kenyataan Media - 7 Februari 2013

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt