Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Pengangkutan mampan 20 tahun lepas

 

Kami telah memperkatakan hal ini mengenai PENGANGKUTAN sejak 20 tahun yang lepas (Seminar Pengangkutan Mampan di Malaysia 2001). Masalahnya masih BERTERUSAN dan bertambah TERUK.

Untuk kita menikmati hak yang dijamin oleh perlembagaan kita terhadap kebebasan pergerakan, kita memerlukan sistem pengangkutan yang mampan, cekap dan murah. Ia mestilah membolehkan kita semua – tidak kira kaya, status, jantina dan ketidakupayaan - memenuhi keperluan untuk bergerak ke tempat kerja, rumah dan untuk melakukan aktiviti rekreasi dan sosial dengan lebih cekap pada harga yang munasabah, melalui penggunaan sumber yang lebih mampan dan tanpa kesan sampingan yang serius ke atas alam sekitar.

Jika sistem pengangkutan Malaysia dinilai dari sudut kemampanan, kecekapan dan kemampuan, bolehlah dirumuskan bahawa ia gagal dalam memenuhi keperluan pengangkutan yang diperlukan oleh orang ramai dan kini berada dalam krisis. Krisis ini adalah sebahagian daripada krisis perbandaran yang lebih besar akibat kesesakan, kemudahan sosial dan perumahan yang teruk, pencemaran, jenayah, dan hubungan sosial yang terputus dan keterasingan.

Kegagalan pihak berkuasa untuk membawa pembangunan mampan ke kawasan luar bandar, dan lokasi industri, perniagaan dan perkhidmatan di beberapa kota raya dan bandar satelit telah menghasilkan penghijrahan penduduk secara berskala besar dari kawasan luar bandar ke kota raya ini. Terhasilnya bandar yang semakin berkembang bermakna rumah, sekolah, tempat kerja dan kemudahan rekreasi berselerak dalam kawasan yang luas, menyebabkan orang ramai terpaksa bergerak dalam jarak yang jauh dan membuat beberapa perjalanan untuk melakukan tugasan harian dan aktiviti sosial mereka.

Dasar secara langsung dan tidak langsung yang menggalakkan penggunaan kereta dan motosikal persendirian untuk memenuhi keperluan pengangkutan rakyat memberikan kesan teruk ke atas kualiti hidup di bandar dan ke atas ekonomi dan kecekapan pengangkutan bandar.

Jalan raya di bandar utama kita sesak dengan kenderaan bermotor. Pada tahun 2000 dilaporkan terdapat 10.5 juta kenderaan motor berdaftar, 9.4 juta daripadanya adalah milik persendirian. Jumlah ini mewakili hampir tiga kali peningkatan (atau 192%) daripada jumlah 3.7 juta kenderaan pada 1987. Bagi tahun yang sama, Singapura, dengan penduduk berjumlah 4 juta dan 3,099 kilometer rangkaian jalan mempunyai 692,807 kenderaan berdaftar, manakala Pulau Pinang dengan penduduk yang lebih kecil iaitu 1.2 juta dan 2,000 kilometer rangkaian jalan, mempunyai 1,122,064 kenderaan berdaftar.

Oleh itu, tidak mengejutkan apabila kesesakan lalu lintas menjadi ciri harian di kota raya utama kita. Penduduk di Kuala Lumpur membazirkan dua hingga empat jam di atas jalan raya pada hari bekerja. Terperangkap dalam kesesakan lalu lintas bukan sahaja menyebabkan kehilangan sumber berharga seperti petroleum, malah kehilangan waktu produktif di tempat kerja dan masa berkualiti di rumah bersama keluarga. Kos ekonomi bagi kesesakan menelan berjuta ringgit.

Sistem pengangkutan kita telah mewujudkan apa yang dirujuk oleh seorang ahli sosiologi sebagai “sungai kematian yang mengalir di depan pintu kita”. Bergerak di atas jalan raya kita penuh dengan risiko dan tidak selamat. Ramai orang terbunuh, cacat atau cedera dalam kemalangan di jalan raya. Di Malaysia, terdapat kira-kira 250,000 kemalangan dilaporkan pada tahun 2000, peningkatan 320% sejak 1987. Dalam tahun itu, kira-kira 6,000 orang terbunuh dan 44,000 cedera – 10,000 kecederaan serius – berbanding 3,000 orang yang terbunuh pada 1987. Kehilangan 6,000 nyawa manusia merupakan satu tragedi utama di mana pihak berkuasa perlu memberikan perhatian segera dan serius.

Golongan miskinlah yang membentuk majoriti mangsa kemalangan jalan raya. Kira-kira 60% daripada semua kemalangan yang mengakibatkan kematian melibatkan penunggang motosikal, 17% pejalan kaki, dan 7% penunggang basikal. Ramai orang miskin memilih motosikal sebagai pengangkutan utama kerana ketiadaan sistem pengangkutan awam yang murah dan cekap. Kemalangan jalan raya adalah pembunuh nombor satu bagi mereka yang berusia antara tiga dan 35 tahun. Dari segi ekonomi, kerajaan menganggarkan RM6 bilion hilang setiap tahun dalam kemalangan jalan raya melalui pembaikan, tuntutan insurans dan bil perubatan.

Ketagihan kita kepada budaya kereta adalah faktor penyumbang utama kepada pencemaran udara yang kita bernafas dan kemusnahan alam sekitar kita. Di Lembah Klang, 70% daripada pencemaran udara disumbang oleh pelepasan asap kenderaan bermotor. Bilangan kenderaan bermotor di kawasan ini telah meningkat sejak beberapa tahun dan jumlah bilangan kenderaan pada 1998 ialah 3 juta.

Gas beracun yang dilepaskan oleh kenderaan bermotor menyumbang kepada hujan asid dan udara persekitaran kota raya dipenuhi dengan kabut. Ia mengakibatkan peningkatan kes asma dan penyakit jantung. Kota kita menjadi semakin panas akibat pemanasan global, salah satu penyebab utamanya adalah pelepasan kenderaan.

Pembangunan tanpa mengambil kira alam sekitar, warisan dan tradisi kita bertanggungjawab terhadap pemusnahan landskap bandar kita. Kecantikan kota dan bandar yang hijau dengan kawasan lapang, bangunan dan seni bina yang menarik telah memberikan laluan kepada wajah metropolitan yang hodoh yang didominasi oleh bangunan pencakar langit, megamall dan infrastruktur pengangkutan yang hodoh. Di Kuala Lumpur, bangunan Masjid Jamek yang bersejarah dan cantik di tebing Sungai Klang serta bangunan warisan stesen keretapi yang menawan kini tersembunyi oleh jejambat konkrit dan struktur LRT.

Penyelesaian kepada masalah kesesakan lalu lintas ialah dengan membina lebih banyak jalan, jejambat, persimpangan, jambatan dan plaza tol tetapi masalahnya terus kekal. Bertan-tan konkrit dituangkan ke atas beribu ekar tanah pertanian yang sebelum ini begitu subur, menjadikannya tandus. Antara 20% hingga 30% tanah bandar digunakan untuk menyediakan jalan dan infrastruktur lain untuk kenderaan bermotor. Pada 1995, rangkaian jalan Malaysia ialah 61,380 kilometer. Lima tahun kemudian ia meningkat 7% kepada 65,880 kilometer.

Begitu banyak sumber dibelanjakan dalam menyediakan kemudahan infrastruktur untuk pemilik kereta. Dalam tempoh 1995 hingga 2000, RM12.3 bilion dibelanjakan oleh kerajaan dan RM7.9 bilion oleh sektor swasta untuk jalan dengan jumlah RM20.2 bilion. Jumlah yang dibelanjakan oleh kerajaan merupakan 60% daripada jumlah kos infrastruktur. Kerajaan bercadang untuk membelanjakan RM14 bilion lagi untuk infrastruktur jalan semasa tempoh 2001 hingga 2005.

Selain itu, pengangkutan awam kita telah diabaikan dan berada dalam keadaan menyedihkan. Banyak bas yang lama, rosak dan mengeluarkan asap. Ia juga tidak mengikut jadual. Sudah menjadi satu kebiasaan untuk melihat kanak-kanak dan pekerja menunggu begitu lama untuk mendapatkan bas ke sekolah, tempat kerja atau pulang ke rumah. Di kawasan luar bandar, di mana sukarnya untuk mendapat pengangkutan awam yang boleh diharap, penduduknya terpaksa bergerak menggunakan motosikal yang secara semula jadinya berbahaya. Berbilion ringgit yang dibelanjakan oleh kerajaan dan sektor swasta ke atas jalan dan infrastruktur bagi kereta sebaiknya dibelanjakan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih murah dan cekap, yang akan memberikan manfaat kepada berjuta orang daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Sementara memberikan keutamaan penting kepada pembangunan rangkaian jalan yang lebih luas, kerajaan gagal untuk memajukan sungai dan laut kita sebagai pengangkutan manusia dan barangan. Dari segi sejarahnya, pengangkutan maritim memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pengangkutan kita. Kini tiba masanya kita menghidupkannya semula untuk membentuk sebahagian daripada sistem pengangkutan bersepadu.

Ketiadaan Dasar Pengangkutan Negara yang bersepadu dan menyeluruh yang mengaitkan isu penggunaan tanah, pengangkutan dan alam sekitar sebahagian besarnya bertanggungjawab bagi pembangunan sistem pengangkutan semasa berasaskan kenderaan persendirian. Projek pengangkutan dilaksanakan oleh pihak berkuasa pada umumnya tanpa rundingan awam sebelumnya. Ia merupakan dasar perindustrian kerajaan berasaskan perniagaan besar – pembuat kereta, van, trak dan motorsikal, pembina jalan, pengendali tol dan pemain besar lain yang berkaitan dengan industri pengangkutan yang mempengaruhi pilihan yang dibuat untuk sistem pengangkutan kita.

Kita perlu memikirkan semula dasar pengangkutan kita dan bergerak ke arah sistem pengangkutan yang mementingkan keperluan rakyat dan mesra ekologi. Kita perlu menangani isu-isu penting ini:

  • Menggubal Dasar Pengangkutan Negara yang lebih menyeluruh, bersepadu dan mampan dengan input yang mencukupi daripada orang ramai.
  • Ketelusan dan pentadbiran yang baik dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar, pelan dan sistem pengangkutan.
  • Pembangunan sistem pengangkutan awam yang selamat, mudah diakses, murah dan cekap yang seharusnya membentuk komponen utama pengangkutan mampan di Malaysia.
  • Keutamaan mestilah diberikan kepada pengangkutan tidak bermotor seperti basikal, pejalan kaki dan beca.

Dalam kenyataan ini, kami cuba untuk menyediakan gambaran keseluruhan status semasa sistem pengangkutan kita bersama dengan beberapa saranan untuk mengatasi masalah yang mempengaruhinya. Kami percaya bahawa ini akan menyumbang kepada kesedaran awam yang lebih besar akan keperluan bagi pengangkutan mampan dan juga mempengaruhi pembuat dasar dan perancang untuk merancang sistem pengangkutan yang lebih baik berbanding apa yang kita ada hari ini.

Buku "Changing Directions" ini boleh didapati dalam Bahasa Inggeris sahaja https://consumer.org.my/product/changing-directions/

 

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt