Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

PETANI PADANG TERAP HADAPI MASALAH SALIRAN : CAP

Lebih 100 petani di enam buah kampung dekat Kuala Nerang daerah Padang Terap, Kedah menghadapi masalah kerana sawah seluas 200 hektar yang mereka usahakan tidak mendapat bekalan air dan tidak mempunyai sistem saliran yang sempurna.

Kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Padang Gelanggang, Kampung Pokka, Kampung Lubuk Keriang, Kampung Lubuk Labi, Kampung Tanjung dan Kampung Tanah Merah.

 

Sawah yang ditumbuhi rumput sambau.

Tinjauan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati para petani di kampung berkenaan hanya mengharapkan air hujan untuk mengairi tanaman padi dan keadaan ini telah menimbulkan berbagai masalah kepada mereka.

Seorang petani Azmi Yaakob, 65, berkata selain bekalan air yang tidak mencukupi kawasan sawah di sini juga turut diancam makhluk perosak seperti tikus, siput gondang, rumput sambau dan padi angin. Keadaan menjadi lebih serius bila berlaku kemarau dan banjir kilat di mana tanaman padi mereka banyak yang musnah.

Beliau memberitahu, berikutan masalah yang berlaku itu hasil padi telah merosot antara tiga puluh hingga 95% setiap kali musim menuai dan ada kalanya langsung tidak memperolehi sebarang hasil.

Azmi yang juga Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Nerang menjelaskan bahawa masalah ini telah beberapa kali dibentangkan di mesyuarat PPK tetapi hingga sekarang masih belum diambil tindakan oleh pihak berwajib.

Ia mencadangkan supaya pihak kerajaan membina saliran baharu yang sistematik dan sebuah rumah pam di Padang Siring serta menyalurkan air ke kawasan sawah di sini dari Empangan Ahning melalui Sungai Padang Terap.

CAP bersimpati dengan petani-petani di kawasan tersebut dan menggesa Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah yang sudah sekian lama membelenggu kehidupan golongan itu.

CAP bimbang jika keadaan itu tidak ditangani segera sumber pendapatan mereka akan terus terjejas.  Masalah seperti yang dihadapi oleh petani di sini dan di mana jua sekiranya tidak diselesaikan boleh menggugat bekalan makanan serta masa depan sektor pertanian negara.

 

Kenyataan Media, 13 Julai 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt