Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Sunway Group Perlu ‘Cakap Serupa Bikin’ Dalam Mengutamakan Rakyat dan Bumi

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan ulasan yang dilaporkan media baru-baru ini oleh Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berhubung perlunya pengulangan baharu pertumbuhan ekonomi yang mengutamakan rakyat dan bumi; (lihat The Star, 2 Julai 2020).

Laporan media itu merujuk kepada komitmen Sunway Group terhadap agenda kelestarian dalam meneruskan Matlamat Pembangunan Mampan PBB (SDG) di rantau Asia.

 

Sementara kami mengalu-alukan usaha awam Tan Sri dalam mempromosikan agenda kelestarian, SAM ingin mengingatkannya untuk Sunway Group mengotakan apa yang dikatakannya.

 

Pada hakikatnya kami telah menulis surat kepada Tan Sri pada Februari tahun lepas, berhubung kebimbangan SAM dan kumpulan masyarakat sivil lain berhubung projek Sunway City, (ahli Sunway Group) mengenai alam sekitar tanah bukit yang sensitif di Sungai Ara, Pulau Pinang yang kami percaya berlawanan kepada agenda kelestarian dan mengutamakan keuntungan daripada rakyat dan bumi.

Malangnya, kami masih belum menerima sebarang maklum balas terhadap surat kami daripada Tan Sri.

Kami telah menjelaskan bahawa projek itu, Sunway Hills di Sungai Ara, Pulau Pinang melibatkan pembangunan perumahan di atas tanah bukit yang sensitif, iaitu tanah dengan lebih daripada 250 kaki (76 meter) di atas paras laut dan kecerunan melebihi 25 darjah.

Sunway mencadangkan pembinaan 600 unit yang terdiri daripada pangsapuri bertingkat tinggi dan banglo di atas tanah bukit meliputi kawasan seluas 80 ekar, kira-kira 43% daripadanya berada di atas cerun yang kecerunannya melebihi 25 darjah.

Projek itu adalah pada asalnya di atas tanah yang ditetapkan sebagai “tanah bukit” di bawah Akta Pemuliharaan Tanah 1960. Bagaimanapun, pada Disember 2011, pihak berkuasa meluluskan permohonan Sunway untuk mengeluarkan status “tanah bukit”.

Kebenaran merancang untuk pembangunan diberikan oleh pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang pada Februari 2012 dan sesetengah penduduk Sungai Ara menfailkan rayuan kepada Lembaga Rayuan Pulau Pinang membantah keputusan MBPP pada 2012.

Pada 27 Januari 2016, Lembaga Rayuan Pulau Pinang mengesahkan bantahan oleh penduduk yang merupakan pemilik tanah berjiran yang membantah kelulusan projek oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Lembaga Rayuan menyatakan bahawa MBPP adalah salah dalam memberikan kebenaran merancang memandangkan ia gagal untuk mempertimbangkan dengan sempurna bahawa ia (dalam kes ini), objektif utama Pelan Struktur Pulau Pinang 2020 adalah untuk memelihara tanah bukit; dan hanya amat terhad serta pengecualian yang wajar dibenarkan sebagai ‘projek khas’, di mana justifikasi adalah kurang dalam projek Sunway.

Sunway City menfailkan semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap keputusan Lembaga Rayuan; dan pada Mei 2017, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang memihak kepada Sunway City.

Pada Jun 2017, penduduk Sungai Ara menfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi dan rayuan ini pada masa ini sementara menunggu keputusan oleh Mahkamah Rayuan berikutan pembicaraan lebih daripada setahun yang lepas.

Rayuan penduduk Sungai Ara mendapat sokongan daripada 19 persatuan penduduk lain dan perbadanan pengurusan serta jawatankuasa di Pulau Pinang, memandangkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi mempunyai implikasi yang serius bukan hanya kepada penduduk di sekitar projek tetapi juga bagi semua penduduk Pulau Pinang yang akan terjejas oleh projek pembangunan di kawasan alam sekitar yang sensitif termasuk di atas cerun bukit dan tanah tinggi di Pulau Pinang.

Kami merasa amat kesal bahawa Tan Sri Jeffrey Cheah dan Sunway sebagai juara SDG terlibat dalam projek perumahan kontroversi ini terhadap penduduk di Pulau Pinang yang berjuang untuk melindungi alam sekitar.

Kes ini menunjukkan bahawa Sunway tidak mengamalkan apa yang dikata berhubung SDG memandangkan cadangan pembangunan perumahan itu tidak boleh dianggap sebagai “mampan”.

Kami menulis surat ini untuk memastikan bahawa Tan Sri dan Sunway Group cakap serupa bikin dan jika mereka mengutamakan rakyat dan bumi mengatasi keuntungan, projek perumahan di atas bukit Sungai Ara seharusnya tidak diteruskan.

 

Surat Kepada Pengarang, 10 Julai 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt