Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tiada Kuasa Untuk Keluarkan Bon Tanpa Kelulusan Kerajaan Persekutuan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tiada kuasa untuk mengeluarkan bon bagi membiayai projek tebus guna tiga pulau bernilai RM11 bilion tanpa kelulusan Kerajaan Persekutuan. Artikel 111(2) Perlembagaan Persekutuan jelas bahawa Negeri dibenarkan untuk meminjam, bagi tempoh tidak melebihi lima tahun, daripada bank atau sumber kewangan lain hanya dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Seterusnya, di bawah Artikel 111(3), Negeri tidak seharusnya memberikan sebarang jaminan kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Dengan mengeluarkan bon, Kerajaan meminjam wang daripada pemegang bon. Apabila pelabur membeli bon Kerajaan, mereka meminjamkan wang kepada Kerajaan sebagai pertukaran bagi kadar faedah dan pulangan principal pada tarikh matang. Kerajaan adalah penghutang dan pemegang bon adalah pemberi hutang.

Oleh itu, selaras dengan sekatan Artikel 111, bagaimana Kerajaan Negeri boleh mengumpul dana untuk projek mega tanpa mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan? Sebarang usaha untuk berbuat demikian adalah haram dan tidak berperlembagaan.

Adalah sesuatu yang ganjil Kerajaan Negeri mendapatkan nasihat daripada pembiaya kewangan, dan bukan daripada Peguam Negara atau Penasihat Undang-undang Negeri, berhubung sama ada kelulusan Kerajaan Persekutuan diperlukan untuk mengeluarkan bon. Ini menimbulkan persoalan serius berhubung fungsi Kerajaan Negeri. Adakah ia dijalankan oleh ahli perniagaan atau oleh ahli yang pilih yang dinasihati oleh pegawai yang dilantik oleh perlembagaan?

Kenapa Kerajaan Negeri tergesa-gesa untuk menandatangani perjanjian dengan Konsortium SRS yang terdiri daripada Gamuda Berhad dengan 60% saham, Ideal Properties (20%) dan Loh Poh Yen Holdings (20%) apabila isu utama masih belum diselesaikan? Terdapat cabaran kepada kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek itu dalam Lembaga Rayuan yang masih belum didengar. Adakah kerajaan begitu yakin bahawa keputusan akan memihak kepada mereka? Apakah yang akan berlaku jika keputusan adalah sebaliknya dan memihak kepada komuniti nelayan? Rakyat akan terpaksa menanggung tuntutan, jika ada, yang datang daripada kontrak itu.

Isu pembiayaan projek itu masih belum diselesaikan. Kerajaan tidak mempunyai idea bagaimana untuk mendapatkan dana kecuali bergantung kepada Konsortium bagi “mencadangkan pelan bagaimana untuk membiayai projek itu”. Kenapa tidak dapatkan bantuan daripada Kementerian Kewangan atau Unit Perancang Ekonomi? Kenapa bergantung sepenuhnya kepada sektor swasta dengan kepentingan diri?

Adalah amat tidak bertanggungjawab bagi kerajaan untuk membebankan dirinya dan rakyat dengan komitmen perundangan kepada Konsortium apabila terdapat begitu banyak ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi hari ini, akibat daripada pandemic Covid-19.

Ramai pakar ekonomi meramalkan kemelesetan serius, malah kemelesetan ekonomi. Banyak projek ditangguhkan dan syarikat besar diambang bankrap. Forbes melaporkan: “Beberapa nama besar dalam korporat Amerika di ambang bahaya melalui jalan seperti Sears, Blockbusters dan RadioShack.” Dalam keadaan persekitaran ekonomi begini, Kerajaan Negeri menandatangani perjanjian dengan Konsortium.

Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Chow Kon Yeow berkata tebus guna Pulau A ke tenggara Pulau Pinang akan diberikan keutamaan bagi memenuhi keperluan industry pembuatan yang semakin berkembang di Bayan Lepas. Bagaimanapun, tiada “ledakan” yang kita tahu di kawasan perindustrian Bayan Lepas. Apa yang kita dengar ialah mengenai pemberhentian dan pembuangan pekerja.

Jika ruang diperlukan untuk industryi terdapat banyak tanah di kawasan Seberang Perai. Kenapa menumpukan semua pembangunan di kawasan Pulau? Adalah sesuatu yang tidak wajar walaupun tanah untuk industry boleh didapati, kerajaan masih mahu menjalankan tebus guna laut secara besar-besaran yang akan memberikan kesan bencana kepada alam sekitar, perikanan dan sosio-ekonomi kepada komuniti nelayan.

Chow berkata Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) amat penting untuk memperbaiki situasi lalu lintas yang semakin buruk di Pulau Pinang. PTMP direka oleh Konsortium pemaju dan kontraktor dan bukannya oleh perunding bebas lalu lintas. Kos bagi PTMP amat besar, berjumlah RM46 bilion. Projek tebus guna laut sahaja menelan kos RM11 bilion dan ia akan mengambil masa lebih 35 tahun untuk disiapkan. Tumpuan utama cadangan Konsortium kelihatan untuk meningkatkan bank tanah dan bukannya mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Pertubuhan masyarakat sivil mengkritik PTMP dengan fakta dan angka serta mencadangkan alternatif yang lebih murah bagi mengurangkan masalah lalu lintas tanpa perlu menebus guna laut dengan kesan bencana. Kerajaan Negeri tidak mendengar rayuan mereka dan terus berdegil untuk meneruskan dengan projek mega bernilai RM57 bilion yang akan membebankan kewangan rakyat. Dilaporkan bahawa pihak Konsortium akan menerima 5% daripada kos projek, yang bernilai berbilion ringgit.

Sehubungan itu, kami menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendedahkan kepada orang ramai perjanjian yang ditandatangani dengan Konsortium dan mendedahkan sama ada terdapat sebarang klausa keluar di dalamnya. Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya meluluskan pengeluaran sebarang bon oleh negeri atau pinjaman yang dijamin untuk membiayai projek mega ini.

 

Surat Kepada Pengarang/Kenyataan Akhbar, 6 Julai 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt