Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

CAP Gesa MB Kedah Dedahkan Tuntutan RM1.5 Bilion Terhadap Kerajaan Negeri

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Kedah untuk tidak memperbaharui konsesi pembalakan yang telah dibatalkan atau memberikan konsesi baharu. Penebangan hutan merupakan salah satu penyebab utama perubahan iklim yang menjejaskan kehidupan berjuta orang di seluruh dunia termasuk Malaysia. Kerajaan Negeri perlu mengutamakan kepentingan rakyat daripada keuntungan untuk pemegang konsesi.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa kerajaannya berdepan tuntutan RM1.5 bilion oleh pemegang konsesi tetapi Menteri Besar sebelum ini, Mukhriz Mahathir mempertikaikannya. Mukhriz menyatakan bahawa selepas beberapa pertemuan antara Kerajaan Negeri dan pemegang konsesi, isu pampasan telah dipersetujui dan apa yang diperlukan hanya pelaksanaannya.

Kami menggesa Muhammad Sanusi supaya mendedahkan nama pemegang konsesi dan jumlah yang dituntut oleh mereka supaya orang ramai boleh membentuk pendapat  berhubung tuntutan yang bercanggah dan bertindak ke atasnya.

Hutan Simpanan Ulu Muda dengan kawasan seluas kira-kira 100,000 hektar merupakan sumber penting air bagi penduduk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Ia juga penyumbang penting kepada penyerapan karbon bagi memperbaiki kesan sampingan perubahan iklim.  Malaysia, di bawah pelbagai perjanjian antarabangsa, komited untuk mengurangkan jejak tapak karbon kita. Kerajaan Kedah perlu memuluhkan semula kawasan yang telah ditebang sebagai ganti memberikan konsesi pembalakan.

Apa yang mengejutkan bahawa Kerajaan Kedah, selama bertahun-tahun telah meluluskan konsesi penebangan balak melebihi kouta yang ditetapkan oleh Akta Perhutanan 1984. Ini merupakan satu pencabulan undang-undang yang serius dan mereka yang bertanggungjawab perlu dipertanggungjawabkan.

Kami juga menggesa supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kebenaran dan keabsahan kelulusan konsesi penebangan balak dan menyerahkan laporan dengan saranan untuk menambah baik undang-undang dan prosedur bagi kelulusan konsesi, dan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam menyalahgunakan kuasa dan rasuah.

 

Kenyataan Akhbar  / Surat kpd Pengarang, 28 Mei 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt