Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kenakan Hukuman Berat terhadap Pesalah – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan agar meminda undang-undang untuk menjatuhkan hukuman yang berat terhadap pesalah yang mencemarkan alam sekitar  kerana tindakan mereka boleh menjejaskan kehidupan berjuta penduduk. Kesan yang begitu teruk diperhatikan berlaku terhadap masalah bekalan air di Selangor yang membekalkan air kepada lebih 8 juta pengguna di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Sumber bekalan air mudah terjejas akibat pencemaran dan sabotaj, sebagaimana dapat dilihat dalam empat penutupan loji air tidak berjadual seperti berikut:

Pada Jun 2019, pencemaran bau dikesan dalam sumber bekalan air mentah di Sungai Semenyih. Ia menjejaskan bekalan air di 512 kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, membabitkan 377,141 pelanggan berdaftar.

Pada 19 Julai, pencemaran bau dikesan dalam sumber bekalan air mentah  di Sungai Selangor. Sejumlah 1,133 kawasan di Lembah Kelang membabitkan 1,166,842 pelanggan berdaftar di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Beberapa hari kemudian, pencemaran diesel dikesan dalam sumber air di Sungai Selangor, menyebabkan empat loji rawatan air terpaksa ditutup. Tindakan itu sebaliknya menjejaskan 1.2 juta pelanggan berdaftar di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam. Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Disember lalu, 50 meter padu sisa haram dibuang ke dalam Sungai Semenyih, menyebabkan kira-kira 1.5 juta penduduk Selangor terputus bekalan air.

Adakah mana-mana pesalah yang menyebabkan gangguan air seteruk itu dihadapkan ke mahkamah dan jika ya, apakah hukuman yang dikenakan? Setakat ini kita masih belum mendengar tindakan diambil ke atas mereka walaupun ada laporan mengenai kegiatan melombong pasir dan kilang disyaki menjadi dalangnya. Malah terdapat nama sebuah syarikat melombong pasir yang disebut namun perkembangannya terhenti setakat itu sahaja.

Kerajaan sepatutnya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah:

Menjadikan hukuman penjara satu mandatori.

Mengenakan denda yang berat sebagai penghalang.

Memastikan mereka yang menyebabkan pencemaran bertanggungjawab membersihkan pencemaran yang dilakukan

Menggantung lesen operasi kilang terbabit selama lima tahun.

Masalah yang berlaku sekarang adalah akibat kurangnya perlindungan terhadap sumber air selama berdekad, dengan itu membolehkan beberapa ratus kilang ditempatkan di sepanjang rizab sungai. Tambahan pula, individu dan loji kumbahan dengan mudah membuang sisanya ke sungai.

Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan agar menempatkan mana-mana kegiatan pengeluaran dan komersial jauh dari kawasan rizab sungai. Kamera litar tertutup  (CCTV) perlu dipasang selain memastikan rizab sungai dipantau 24 jam sehari. Kini terdapat undang-undang sedia ada yang memberi kuasa kepada majlis termpatan, Jabatan Alam Sekitar, dan Jabatan Perparitan dan Saliran untuk menguatkuasa dan melindungi sumber air.

Selain itu terdapat keperluan untuk memasang saluran paip air mentah dari Empangan Semenyih ke loji rawatan air demi melindungi bekalan air mentah. Masalahnya ialah kita masih kekurangan penguatkuasaan undang-undang.

Kami mengulangi gesaan kepada kerajaan supaya menjatuhkan hukuman penjara mandatori  dan denda yang berat; pastikan dalang terbabit tidak terlepas dari kewajipan membersihkan air yang tercemar; dan menggantung lesen mana-mana kilang yang melakukan pencemaran selama lima tahun. Mencemarkan bekalan air adalah sama seperti melakukan satu kesalahan jenayah dengan meracuni penduduk dan menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk yang terjejas, yang terpaksa mengangkut air untuk penggunaan harian daripada sumber lain. Pesalah perlu diajar bahawa perbuatan jenayah tidak akan terlepas begitu sahaja.


Kenyataan Akhbar, 27 Disember 2019

alt

alt

alt

alt

alt