Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

CAP Bantah Perjanjian Baharu PDP Dengan Konsortium SRS

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tidak menandatangani Perjanjian Rakan Penyampaian Projek (Project Delivery Partner - PDP) baharu dengan  SRS Consortium untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Penang Transport Master Plan  - PTMP) memandangkan PTMP masih diperdebatkan dan dikritik oleh pertubuhan masyarakat sivil (CSO) disebabkan oleh kesan buruk ke atas alam sekitar dan sosio ekonomi.

SRS Consortium merupakan usahasama 60:20:20 antara Gamuda, Loh Phoy Yen Holdings Sdn. Bhd. dan Ideal Property Development Sdn. Bhd. Dilaporkan media bahawa SRS Consortium pertama kali menandatangani perjanjian PDP dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 2015 dan peranannya sebagai PDP ialah untuk membantu kerajaan negeri bagi melaksanakan PTMP. Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang disarankan oleh SRS untuk mewujudkan bank tanah bagi membiayai PTMP yang menelan kos berbilion ringgit.

Dalam beberapa tahun lepas, kerajaan negeri telah mengembangkan skop projek PTMP dan oleh itu dalam merasmikan pelan terbaharu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu menandatangani perjanjian baharu dengan Konsortium SRS. Minggu lepas, Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling dilaporkan berkata bahawa sebaik sahaja perjanjian PDP baharu ditandatangani, kerja reka bentuk boleh dimulakan. “Transit Aliran Ringan (LRT), Pulau A, Pan Island Link dan kerja tambak laut di Selatan Pulau Pinang akan dijalankan,” katanya.

Penang Forum dan beberapa ahli akademik telah menjelaskan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa terdapat pilihan yang lebih berdaya maju, baik dan murah bagi PTMP. Pilihan  alternatif ini tidak memerlukan pembinaan jalan, lebuhraya baharu atau LRT.

Alternatif PTMP yang dicadangkan oleh CSO menggabungkan rangkaian yang lebih baik ART (autonomous rail rapid transit) dan BRT (bus rapid transit) yang disokong oleh sistem feeder bagi menangani hubungan pertama dan terakhir. CAP telah menulis kepada Ketua Menteri agar mempertimbangkan dengan serius pilihan ini. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih belum memberikan maklum balas tentang kenapa mereka memilih PTMP yang lebih mahal, pilihan yang berpotensi membawa impak negatif walaupun terdapat pilihan alternatif yang lebih murah, baik dan cepat.

Pihak Kerajaan Negeri tidak mempertimbangkan pandangan awam, komuniti nelayan dan CSO yang membantah Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSR). Kami juga telah menyuarakan bantahan ketika pendengaran awam berhubung draf Pelan Struktur Pulau Pinang (RSNPP) 2030 yang termasuk Projek Pulau Selatan Pulau Pinang, projek tambak laut lain dan lebuh raya baharu.

Amat mengecewakan apabila bantahan dan pandangan CAP dan banyak kumpulan lain tidak diambil kira dan Kerajaan Negeri terus mewartakan RSNPP 2030 pada 24 Oktober 2019. Kerajaan juga perlu mempertimbangkan kes yang difailkan untuk menyoal kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling PSR-Rev 2.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang seharusnya melaksanakan penjimatan dengan menyemak semula projek PTMP untuk mengurangkan kos dan mempertimbangkan alternatif, di samping membatalkan semua cadangan projek tambak laut, mewah dan mega. Janganlah mengabaikan penduduk dan alam sekitar Pulau Pinang dalam mengejar cadangan pembangunan oleh pemaju yang hanya mengejar keuntungan.

 

Kenyataan Akhbar, 14 Disember 2019

alt

alt

alt

alt

alt