Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

BANTAHAN PELAKSANAAN PEMBANGUNAN LADANG MONOKULTUR DI HUTAN SIMPAN GUNUNG INAS, KEDAH

Sahabat Alam Malaysia (SAM) berasa dukacita apabila Pihak Berkuasa Negeri masih meneruskan dasar dan meluluskan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan termasuk ladang durian ‘musang king’) dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) pada skala yang besar.

SAM menggesa Pihak Berkuasa Negeri memberhenti dan membatalkan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur termasuk ladang durian ‘musang king’ dalam HSK pada skala yang besar khususnya di Hutan Simpan Gunung Inas (HS Gunung Inas).

Pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK memusnahkan litupan hutan asal (hutan asli) melalui kaedah pengusahasilan kayu-kayan secara tebang habis.

SAM membantah pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK kerana menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

Kegiatan pengusahasilan kayu-kayan secara tebang habis dan penyediaan tapak yang tidak terkawal semasa pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dikenal-pasti telah memberi impak dan kemusnahan kepada alam sekitar.

Pihak Berkuasa Negeri harus memahami apabila HS Gunung Inas yang merupakan sebahagian daripada kawasan ‘Central Forest Spine’ (CFS) dan dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) ditukar kepada lain-lain guna-tanah, impaknya adalah terhadap hidrologi hutan.

Permukaan tanah yang terdedah secara terus kepada curahan hujan yang tinggi akan menyebabkan lebihan air larian permukaan, hakisan lereng bukit, kerosakan struktur sungai dan kemerosotan kualiti air.

Walaupun pelaksanaan pembangunan ladang monokultur di HS Gunung Inas telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) tetapi pemantauan dan kawal-selia syarat-syarat kelulusan Laporan EIA oleh pIhak Jabatan Alam Sekitar (JAS) semasa kegiatan pengusahasilan kayu-kayan dan penyediaan tapak boleh dipersoal.

Malah kelulusan yang diberi oleh Pihak Berkuasa Negeri tidak selari dan tidak mematuhi beberapa kriteria dan garis panduan yang ditetapkan untuk tujuan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur sebagaimana Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Bilangan 1 Tahun 2010 (Pekeliling KPPSM Bil. 1 Thn 2010).

Antaranya ialah pemilihan kawasan yang berkaitan dengan kecerunan dan topografi iaitu tidak boleh meluluskan cadangan projek pembangunan ladang hutan di kawasan berbukit dan curam.

Cadangan projek pembangunan ladang hutan juga hendaklah tidak menyebabkan impak negatif kepada alam sekitar serta pemilihan spesies berdasarkan senarai spesies yang ditetapkan sahaja (tidak termasuk spesies durian ‘musang king’).

Berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian lapangan SAM sebelum ini, didapati kebanyakan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dilakukan tanpa kawalan walaupun Pihak Berkuasa Negeri mengakui mempunyai ‘standard and operating procedure’ dan diluluskan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Beberapa kawasan HSK lain di negeri Kedah juga dikenal-pasti telah diluluskan cadangan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur iaitu spesies getah klon balak (TLC - timber latex clone) dan ladang spesies Durian ‘Musang King’ seperti di Hutan Simpan Bukit Enggang (HS Bukit Enggang).

Pada tahun 2017, 9,583 hektar atau 2.80% daripada keluasan HSK di negeri Kedah yang seluas 341,976 hektar telah dibangunkan sebagai ladang monokultur terutama spesies getah klon balak (TLC)

Projek ladang monokultur di HS Bukit Enggang adalah salah-satu pelaksanaan pembangunan ladang monokultur yang menimbulkan persoalan kerana dilaksana terlebih dahulu tanpa dikemuka dan mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) sedangkan penggerak projek adalah anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Menteri Besar Kedah (MB Inc).

Sehingga kini, gesaan SAM terutama kepada Pihak Berkuasa Negeri dan juga kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia semasa sesi perbincangan bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) pada 26 Mei 2017 agar pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK tidak dilaksana masih tidak mendapat maklum-balas.

SAM berpendirian, dasar berhubung penggalakan melaksana pembangunan ladang monokultur dalam kawasan HSK perlu dimansuhkan.

SAM juga berharap, Pihak Berkuasa Negeri dan pihak-pihak berkuasa berkaitan mematuhi dan mengguna-pakai pelan perancangan fizikal terutama Rancangan Fizikal Negara (RFN), Rancangan Struktur Negeri (RSN), Pelan Induk CFS dan lain-lain dasar / polisi yang berkaitan di samping menguatkuasa peruntukan undang-undang sedia-ada.


Kenyataan Media, 12 Disember 2019

alt

alt

alt

alt

alt