Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Hentikan Hakisan Tanah, Selamatkan Masa Depan Kita

Pada masa kini, tanah seluas bersamaan satu padang bolasepak terhakis setiap lima saat, dan bumi ini ke arah yang boleh membawa kepada kemerosotan lebih daripada 90 peratus daripada semua tanah bumi menjelang 2050, demikian menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO).

Dalam Laporan Status of the World’s Soil Resources 2015 (FAO dan ITPS, 2015), hakisan tanah dinilai sebagai ancaman nombor satu kepada fungsi tanah dalam lima daripada tujuh wilayah (Afrika, Asia, Amerika Latin, Timur Dekat dan Afrika Utara, dan Amerika Utara. Di Malaysia, kita sudah pun mengalami hakisan tanah yang menjejaskan hasil tanaman kita, keselamatan makanan dan alam sekitar.

Tanah merupakan sumber yang terhad, ia bermaksud kehilangan dan kemerosotan tidak dapat dipulihkan semula dalam tempoh hayat manusia. Walaupun ia amat penting bagi kehidupan di atas bumi ini, amat mengecewakan apabila tanah kita terus dieksploitasi dan berada dalam bahaya disebabkan oleh kepesatan perbandaran, penebangan hutan, penggunaan tanah dan amalan pengurusan yang tidak mampan, penggunaan bahan kimia pertanian secara intensif, tanaman tunggal, pencemaran, aktiviti perlombongan dan perindustrian serta perubahan iklim.

Oleh kerana itu, tema bagi Hari Tanah Sedunia (World Soil Day) 2019 yang jatuh pada 5 Disember iaitu, “Hentikan hakisan tanah, Selamatkan masa depan kita” amat tepat sekali untuk intervensi diambil dengan segera bagi mencegah, memulihkan dan mengurangkan hakisan tanah. Pemulihan tanah yang merosot tidak seharusnya melalui penggunaan baja  kimia kerana bahan kimia ini membunuh tanah dan mengancam kebun kita.

Memandangkan tanah adalah sistem sokongan hayat kita, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah lama berkempen bagi mencegah hakisan tanah disebabkan oleh pembangunan yang tidak tepat. Sebaliknya, CAP menggalakkan amalan pengurusan tanah yang baik melalui kaedah organik.

Penerbitan CAP bertajuk “Kesuburan Tanah” yang merupakan buku panduan, membutirkan langkah-langkah untuk diambil bagi memulih dan mengekalkan kesuburan tanah. Ini termasuklah mengkompos, sungkup, menambah baja hijau, tanaman penutup bumi, tanaman selingan, amalan tanaman secara bergilir dan mengawal nematod dan penyakit pada akar tumbuhan.

Memperkenalkan lebih banyak input organik adalah cara yang paling mudah untuk memaksimumkan aktiviti mikroba dalam tanah. Cacing tanah, yang sering dirujuk sebagai rakan petani merupakan nadi kepada tanah. Oleh kerana itu, kita mestilah tidak menggunakan bahan kimia pertanian yang memusnahkan sistem tanah dengan membunuh mikrob dan cacing tanah.

Menghentikan hakisan tanah dan membaikpulih tanah yang terjejas amat penting bagi kelangsungan hidup kita. Sertailah kami untuk bersama #HentikanHakisanTanah.


Kenyataan Akhbar, 5 Disember 2019

alt

alt

alt

alt

alt