Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Jangan Ganggu Taman Botani Pulau Pinang

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut dengan “Rancangan Kawasan Khas untuk Taman Botani Pulau Pinang” yang pada asasnya akan membawa lebih ramai pengunjung, mempunyai lebih banyak struktur buatan manusia dan mungkin akan mengenakan bayaran bagi penduduk Pulau Pinang untuk mengunjungi taman itu (klausa IV, ms5-4 yang menyatakan “...mengatur dan mengawal kemasukan orang ramai ke Taman Negeri dan mengenakan bayaran untuk kemasukan dan menikmati kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan”).

Rancangan itu telah diwartakan tanpa atau dengan rundingan awam yang amat kecil pada Julai 2019. Orang ramai hanya diberi taklimat mengenainya pada November selepas diluluskan.

Suasana taman itu akan berubah selamanya dengan Rancangan Kawasan Khas untuk memajukan Taman itu sebagai destinasi pelancongan utama. Tempat letak kereta bertingkat akan dibina walaupun pihak berkuasa tidak dapat menyediakan penduduk Pulau Pinang dengan rumah mampu milik yang sebenarnya. Kesesakan lalu lintas akan menjejaskan memandangkan Taman itu berada di jalan mati dan terlalu ramai pengunjung akan melimpahkan kesesakan ke simpang Jalan Utama – Jalan Gottlieb yang sudah pun sibuk.

Pengembangan Taman Botani ini juga bermakna Taman Botani yang ada sekarang (yang lebih semula jadi) akan dipindahkan ke bahagian paling jauh daripada taman itu. Bahagian hadapan Taman itu akan menjadi “Malaysiana Boulevard” yang panjang menggunakan jalan sedia ada ke dalam Taman. Jalan ini akan didirikan gerai dan tempat acara – ia akan menjadi suasana komersial dan ‘pasar minggu’ yang bising yang tidak sesuai sepenuhnya di pintu masuk untuk memperkenalkan ketenangan taman itu kepada orang awam.

Stesen kereta kabel mungkin dimajukan di Taman Botani untuk menghubungkannya dengan Bukit Bendera. Rancangan Kawasan Khas menyatakan “kehadiran tapak stesen kereta kabel boleh meningkatkan bilangan pengunjung ke taman itu memandangkan ia akan menyediakan peluang bagi pengunjung untuk memasukkan Taman Botani sebagai satu lagi kawasan pelancongan sebelum ke Bukit Bendera” (ms3.38). Tidak banyak butiran disediakan dalam Rancangan itu.

Kereta kabel itu jika dilaksanakan akan menyebabkan kerosakan yang tidak boleh diperbaiki kepada Taman itu dan Bukit Bendera melalui pembinaan lebih banyak hotel, banglo bagi golongan elit yang kaya, kafe, taman hiburan dan jalan raya.

Tumpuan Rancangan Kawasan Khas dilihat kepada pembangunan untuk pelancongan, bukan sebagai taman warisan semula jadi untuk keperluan rekreasi penduduk Pulau Pinang.

Ini adalah benar dalam kes mengenakan bayaran masuk untuk kemudahan awam. Ini samalah dengan peningkatan ketara dalam cukai taksiran bagi penduduk Pulau Pinang apabila mereka membelanjakan banyak wang dengan secara yang tidak wajar atas nama pembangunan untuk negeri dan kemudiannya meletakkan bebannya ke atas pembayar cukai. Kerajaan Negeri sepatutnya lebih banyak berhemah dan menyediakan kemudahan awam tanpa dikenakan bayaran memandangkan ia sudah pun dibayar oleh pembayar cukai.

Peningkatan pengunjung ke taman dan kenderaan akan menghasilkan sejumlah besar karbon dioksida yang akan memburukkan lagi keadaan iklim. Ia bertentangan dengan komitmen untuk mengurangkan pelepasan karbon di bawah perjanjian antarabangsa.

Pihak berkuasa seharusnya memberikan tumpuan kepada menambah baik pengangkutan awam ke taman, kemudahan penyelidikan dan pendidikan serta memperkenalkan lebih banyak tumbuhan asli, terutamanya yang diancam kepupusan.

Ia seharusnya tidak memperdagangkan kecantikan dan ketenangan Taman dan kebajikan penduduk untuk wang pelancong.

CAP sekali lagi menggesa supaya “Demi untuk kepentingan penduduk Pulau Pinang, jangan ganggu Taman Botani, biarkan ia kekal begitu sahaja”.

 

Kenyataan Akhbar, 29 November 2019

alt

alt

alt

alt

alt