Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Langkah Untuk Memulakan Perlombongan Nadir Bumi di Perak Amat Tidak Bertanggungjawab

Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat bimbang apabila mendapati satu Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani antara Kerajaan Negeri Perak dan Syarikat China, Chinalco GXNF Rare Development untuk menjalankan penerokaan galian nadir bumi di Perak.

Perkara ini didedahkan melalui kenyataan daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) pada 16 November baru-baru ini, dengan pihak Kementerian memandang inisiatif ini sebagai satu “langkah positif”.

Jelas sekali, kerja penerokaan ini adalah langkah pertama dalam memulakan perlombongan nadir bumi di negeri ini dan SAM amat bimbang dengan cadangan ini.

Negeri Perak sudah pun menjadi tapak bagi fasiliti kekal sisa  radioaktif di Banjaran Kledang yang mengandungi sisa berbahaya thorium dan uranium, yang diwarisi daripada kilang Asian Rare Earth (ARE) yang beroperasi di Bukit Merah, Ipoh pada pertengahan 1980-an sehingga 1990-an.

Sisa ini akan kekal radioaktif untuk selama berbilion tahun dan mendedahkan risiko yang tinggi kepada penduduk Perak.

Amat mengejutkan bahawa Kerajaan Negeri Perak serta KATS tidak mempelajari kisah tragik daripada kilang ARE yang telah mengakibatkan keracunan radioaktif yang serius dalam komuniti Bukit Merah dengan insiden kematian yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang menderita akibat leukaemia dan kanser, kanak-kanak dengan paras plumbum yang tinggi dalam darah, dan keguguran mengatasi kadar biasa dalam kalangan wanita hamil.

Hanya dengan menambah perkataan ‘mampan’ kepada perlombongan dan pemprosesan nadir bumi tidak menjadikan aktiviti berbahaya dan berisiko itu selamat, terutama sekali jika kita bercakap mengenai sisa radioaktif thorium dan uranium yang kekal berbahaya dalam alam sekitar selama bergenerasi akan datang.

Amat tidak bertanggungjawab bagi Kerajaan Negeri Perak dan KATS untuk mempromosikan pelaburan dalam nadir bumi yang tidak mesra alam sekitar, walaupun terdapat pengajaran daripada ARE dan operasi nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang yang menimbulkan kontroversi.

Kerajaan Negeri Perak dan KATS mestilah bertindak dengan bertanggungjawab dalam menghentikan pelaburan yang membawa keuntungan besar kepada syarikat dalam jangka pendek dan meninggalkan legasi buangan sisa toksik, radioaktif dan berbahaya bagi generasi akan datang menanggungnya.

Sebaliknya, kita seharusnya mempromosikan pelaburan mesra alam sekitar yang memberikan manfaat kepada orang ramai dan alam sekitar dalam jangka pendek dan panjang.

Sehubungan itu, kami menggesa Kerajaan Negeri Perak tidak memulakan sebarang aktiviti perlombongan nadir bumi di Perak dan pihak KATS tidak mempromosikan perlombongan nadir bumi dengan label ‘perlombongan mampan’ yang diragui.

 

Siaran Akhbar, 27 November 2019

alt

alt

alt

alt

alt