Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

BANTAHAN PELAKSANAAN PEMBANGUNAN LADANG MONOKULTUR DALAM HUTAN SIMPANAN KEKAL

Sahabat Alam Malaysia (SAM) berasa dukacita apabila Kerajaan Persekutuan dan beberapa Kerajaan Negeri di Semenanjung Malaysia masih meneruskan dasar dan meluluskan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (contohnya ladang hutan spesies getah klon balak dan ladang durian ‘musang king’) dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) pada skala yang besar.

Antara negeri-negeri yang giat melaksanakan pembangunan ladang monokultur dalam HSK dan membimbangkan kami ialah Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah seperti di lampiran.

Pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK memusnahkan litupan hutan asal (hutan asli) melalui kaedah pengusahasilan secara tebang habis.

SAM membantah pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK kerana menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat terjejas.

Malah konsep ladang itu sebenarnya bercanggah dengan konsep hutan dari segi bahasa dan terminologi. Ladang adalah kawasan pertanian secara monokultur berskala besar yang dipenuhi tanaman manakala hutan pula terbentuk secara semulajadi oleh tumbuh-tumbuhan serta mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi dan melakukan pelbagai fungsi ekologi.

SAM berpendirian bahawa dasar berhubung penggalakkan melaksana pembangunan ladang monokultur dalam kawasan HSK perlu dimansuhkan.

Kebiasaannya, justifikasi dan alasan utama sesuatu Pihak Berkuasa Negeri meluluskan projek pembangunan ladang monokultur ialah kerana kawasan yang dikenalpasti ditakrifkan sebagai hutan miskin atau hutan terosot.

Perlu diketahui bahawa sesuatu kawasan HSK di Malaysia menjadi hutan miskin atau hutan terosot bukan disebabkan oleh faktor semulajadi tetapi disebabkan oleh faktor manusia terutama kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram.

Ini ditambah pula kelemahan pihak berkuasa yang berkenaan yang dilihat gagal melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan-kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram di kawasan HSK.

Berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian lapangan SAM sebelum ini, didapati kebanyakan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dilakukan tanpa kawalan walaupun Pihak Berkuasa Negeri yang berkenaan mengakui mempunyai ‘standard  operating procedure’ dan diluluskan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.


KELANTAN

Paling membimbangkan peningkatan keluasan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur ialah di negeri Kelantan.

Pada tahun 2017, 169,133 hektar atau lebih 27% daripada keluasan HSK di negeri Kelantan yang seluas 613,275 hektar telah dibangunkan sebagai ladang monokultur terutama ladang hutan (spesies getah klon balak [timber latex clone TLC]).

Terdapat juga ladang spesies durian ‘musang king’ dalam kawasan HSK di negeri Kelantan seperti di Hutan Simpan Balah (HS Balah) seluas 400 hektar.

SAM telah melakukan pelbagai usaha agar pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK di negeri Kelantan tidak diteruskan. Antaranya ialah:-

-          mengemukakan surat kepada Menteri Besar Kelantan bertarikh 25 Mac 2015; dan

-          menemui Timbalan Menteri Besar dan membawa bersama wakil masyarakat

Orang Asli serta mengemukakan memorandum bertarikh 1 November 2016.

Tetapi semua yang diusahakan masih tidak mendapat maklumbalas daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Sebaliknya sehingga kini, Pihak Berkuasa Negeri masih meneruskan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur berskala besar dalam kawasan HSK tanpa mengambilkira dan mematuhi kriteria-kriteria tertentu penubuhan ladang hutan yang telah ditetapkan.

Kesan kepada kehidupan masyarakat setempat terutama masyarakat Orang Asli seperti takungan air, penempatan, perkuburan dan kawasan mendapatkan hasil hutan masih terus diganggu dan dimusnahkan oleh syarikat-syarikat yang diberi lesen mengusahasil dan syarikat yang diberi kelulusan melaksanakan pembangunan ladang monokultur dalam HSK di negeri Kelantan.

SAM berharap Pihak Berkuasa Negeri dapat mempertimbang untuk menghenti dan tidak meluluskan lagi pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK di negeri Kelantan.


PERAK

Beberapa kawasan HSK di negeri Perak yang dikenalpasti telah diluluskan cadangan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur ialah ladang hutan (spesies getah klon balak [TLC]) dan ladang spesies Durian ‘Musang King’.

Pada tahun 2017, sejumlah 56,503 hektar atau 5.67% daripada keluasan HSK di negeri Perak yang seluas 995,216 hektar telah dibangunkan sebagai ladang monokultur terutama ladang hutan (spesies getah klon balak [TLC]).

Kawasan-kawasan yang dicadangkan tersebut merupakan kawasan tadahan air iaitu di Hutan Simpan Kledang Saiong (HS Kledang Saiong) manakala tiga kawasan di Hutan Simpan Bukit Kinta (HS Bukit Kinta) dan satu kawasan di Hutan Simpan Piah (HS Piah) merupakan kawasan yang melibatkan masyarakat Orang Asli seperti penempatan dan mendapatkan hasil hutan.

Kawasan-kawasan yang dicadangkan tersebut iaitu di HS Kledang Saiong dan HS Bukit Kinta juga merupakan sebahagian daripada kawasan Geopark Lembah Kinta yang sepatutnya dipelihara.

Kawasan-kawasan yang dikenalpasti telah dicadangkan untuk tujuan ladang spesies Durian ‘Musang King’ iaitu di Hutan Simpan Bintang Hijau (HS Bintang Hijau) yang terletak di Banjaran Bintang Hijau dan Hutan Simpan Belukar Semang (HS Belukar Semang) pula merupakan sebahagian daripada kawasan Rangkaian Ekologi ‘Central Forest Spine’ (CFS) - PL 8: Hutan Simpan Kendrong (HS Kendrong - HS Bintang Hijau) yang patut dipelihara.

Rangkaian Ekologi CFS dikenalpasti oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (JPBD Semenanjung Malaysia) bertujuan sebagai koridor dan laluan hidupan liar diantara kompleks hutan yang terpisah.

Sebahagian kawasan yang dikenalpasti telah dicadangkan untuk tujuan ladang spesies Durian ‘Musang King’ di HS Bintang Hijau juga merupakan kawasan tadahan air yang sepatutnya dipelihara.

Semasa pertemuan / mesyuarat diantara Menteri Besar dengan pihak SAM pada 19 Februari lalu, salah-satu agenda / perkara yang dikemukakan oleh SAM ialah menggesa Pihak Berkuasa Negeri memberhenti dan tidak melaksanakan lagi pembangunan ladang monokultur dalam HSK.

 

KEDAH

Beberapa kawasan HSK di negeri Kedah juga dikenalpasti telah diluluskan cadangan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur iaitu ladang hutan (spesies Getah klon balak [TLC]) dan ladang Durian ‘Musang King’ seperti di Hutan Simpan Gunung Inas (HS Gunung Inas) dan Hutan Simpan Bukit Enggang (HS Bukit Enggang).

Pada tahun 2017, 9,583 hektar atau 2.80% daripada keluasan HSK di negeri Kedah yang seluas 341,976 hektar telah dibangunkan sebagai ladang monokultur terutama ladang hutan (spesies getah klon balak [TLC]).

Projek ladang monokultur di HS Bukit Enggang adalah salahsatu pelaksanaan pembangunan ladang monokultur yang menimbulkan persoalan kerana dilaksana terlebih dahulu tanpa dikemuka dan mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) sedangkan penggerak projek adalah anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Menteri Besar Kedah (MB Inc).

 

PAHANG

Pahang adalah negeri yang dilihat tidak mengambilkira sensitiviti sesuatu kawasan apabila melaksana pembangunan ladang monokultur dalam HSK.

Pada tahun 2017, 104,905 hektar atau 6.72% daripada keluasan HSK di negeri Pahang yang seluas 1,558,898 hektar telah dibangunkan sebagai ladang monokultur terutama ladang hutan (spesies getah klon balak [TLC]).

Kebanyakan kawasan pembangunan ladang monokultur dalam HSK adalah berskala terlalu besar iaitu melebihi 1,000 hektar sehingga lebih 9,000 hektar.

Sebagai contoh dua kelulusan projek ladang monokultur di Hutan Simpan Lesung (HS Lesung) iaitu 9,946 hektar (Blok C) dan 9,988 hektar (Blok B).

Kelulusan keluasan sesuatu kawasan HSK yang terlalu besar untuk tujuan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur, sudah tentu memberi kesan yang amat ketara kepada ekosistem dan persekitaran serta kesan kepada kehidupan masyarakat setempat terutama masyarakat Orang Asli malah juga kepada habitat dan kawasan keliaran hidupan liar.

Pembangunan ladang monokultur dalam HSK di negeri Pahang bukan hanya dilaksana di kompleks hutan CFS sahaja tetapi dilaksana juga di kawasan HSK yang terpisah daripada kompleks hutan CFS seperti di Hutan Simpan Jengka (HS Jengka) seluas kira-kira 1,648.12 hektar.

Sehingga kini, semua gesaan SAM kepada Pihak Berkuasa Negeri Kelantan dan Perak dan juga kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia semasa sesi perbincangan bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) pada 26 Mei 2017 agar pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK tidak dilaksana masih tidak mendapat maklumbalas.

SAM juga berharap, Pihak Berkuasa Negeri dan pihak-pihak berkuasa berkaitan mematuhi dan mengguna-pakai pelan perancangan fizikal terutama Rancangan Fizikal Negara (RFN), Rancangan Struktur Negeri (RSN), Pelan Induk CFS dan lain-lain dasar / polisi yang berkaitan disamping menguatkuasa peruntukan undang-undang sedia-ada.

 

Kenyataan Media, 29 April 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt