Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Hutan Bakau di Tanah Kerajaan di Batu Maung Dijadikan Tempat Pembuangan Sisa

Pokok bakau terbakar di lambakan sisa buangan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terperanjat apabila mendapati hutan paya bakau di tanah kerajaan di tengah-tengah Pekan Baru Batu Maung dan bersebelahan Taman Perindustrian Bayan Lepas diancam dengan lambakan sisa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ekoran daripada pembuangan sisa ini, sungai payau yang mengalir melalui hutan bakau di sini adalah tercemar dengan larut resapan dari sisa. Selanjutnya ia akan menjejaskan ekosistem hutan bakau yang terletak di belakang Institut Penyelidikan Perikanan Malaysia.

Pada asalnya, dalam tahun 1960an sebelum pembangunan Zon Industri Bebas Bayan Lepas dan pembangunan lain, kawasan ini diliputi jajaran hutan bakau yang tebal. Tetapi dalam beberapa dekad ini, kira-kira 20 hektar saja yang masih tinggal. Tetapi aktiviti pencerobohan baru-baru ini telah menyebabkan dua kawasan ketandusan, merangkumi kira-kira 15% daripada keseluruhan kawasan hutan bakau di sini.

Kami difahamkan bahawa tanah hutan bakau ini adalah hakmilik Kerajaan Persekutuan dan diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Perikanan.  Kami hairan bagaimana lori boleh masuk ke kawasan ini untuk melupuskan sisa.  Ia juga menimbulkan persoalan bagaimana agensi bertanggungjawab menjalankan pemantauan dan melindungi kawasan hakmilik kerajaan daripada diceroboh.

Antara bahan buangan yang kami dapati berlambak di kawasan yang telah dibuka ialah sisa konkrit, bahagian enjin kereta, sisa elektrik dan elektronik, tali nilon tebal, dan sisa plastik. Oleh itu, kami tidak percaya bahawa ini mungkin merupakan aktiviti penambakan tanah. Ia adalah secara terang tempat membuang sampah secara haram.

Baru-baru ini, sisa yang dilupuskan di tapak pembuangan itu terbakar dan menyebabkan beberapa pokok bakau di pinggir turut terbakar. Kebimbangan lain adalah bahawa hutan bakau ini kurang 0.5 km jaraknya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan dikelilingi oleh rumah-rumah yang padat dan kilang SME di Pekan Baru Batu Maung. Pencemaran atau kebakaran akan menjejaskan komuniti dan kawasan berhampiran.

Kami menuntut agar tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menebang kawasan hutan bakau ini dan kami menggesa tindakan tegas diambil ke atas pihak yang membuang sampah secara sewenang-wenangnya di sini. Dari segi kehadiran sejumlah besar sisa binaan, asal sisa ini perlu dikenal pasti agar kontraktor dan pihak terbabit dipertanggungjawabkan kerana membuang sisa itu secara haram.

Hutan bakau di sini perlu diberi perlindungan yang lebih baik kerana ia merupakan satu-satunya kawasan hutan bakau yang masih tinggal di kawasan ini. Di samping fungsi lain, hutan bakau di kawasan ini penting untuk mengekalkan kualiti air, memerangkap sedimen dan menapis bahan pencemar yang berasal dari aktiviti di kawasan sekitarnya.

Tindakan segera dan tegas oleh kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan diperlukan untuk memastikan bahawa baki hutan bakau di sini dilindungi sepenuhnya dan dipulihara selama-lamanya.

 

Kenyataan Akhbar, 30 Januari 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt