Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

CAP Menggesa Perundangan Melarang Insinerasi Sisa

Kerajaan Malaysia harus menggubal perundangan untuk melarang dan mengharamkan semua bentuk insinerasi sisa untuk menghindari pembinaan insinerator, pendorong dan penjual insinerator dari Malaysia. Sebaliknya, kita perlukan dasar dan tindakan ke arah Sisa Sifar dan program pengurangan sisa.

Pada masa kini, insinerator yang paling digalak secara agresif ialah fasiliti “sisa-ke-tenaga” atau waste-to-energy (WTE).  Minggu lalu telah diumumkan bahawa dua loji WTE akan dibina di Selangor iaitu di tapak pelupusan Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung Dua Belas di Kuala Langat.  Komuniti di Bukit Payong, Johor yang membantah projek tapak pelupusan di situ juga bimbang bahawa loji WTE akan dibina di kawasan tersebut sebagai alternatif.

Istilah”sisa-ke-tenaga” adalah silap kerana sisa merupakan bahan api yang tidak efisien dan loji ini kemungkinan besar mampu untuk menjana hanya sedikit tenaga elektrik. Memandangkan sisa di Malaysia adalah sebahagian besar organik, loji WTE ini akan memerlukan input tenaga tambahan untuk memproses sisa tersebut terlebih dahulu supaya sesuai untuk dibakar, sebelum membakarnya.

Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (US EPA), insinerator WTE dan tapak pelupusan sisa menyumbang kepada tahap tinggi pelepasan gas rumah hijau dan tenaga secara keseluruhan sepanjang kitaran hidup bahan berbanding dengan pengurangan penjanaan sisa, guna semula dan kitar semula bahan yang sama[ U.S. EPA, “Solid Waste Management and Greenhouse Gases, A Life-Cycle Assessment of Emissions and Sinks 3rd edition,” 2006.].

Sebelum ini terdapat beberapa bantahan daripada komuniti yang menentang cadangan insinerator di Malaysia. Komuniti membantah projek insinerator di Kampung Bohol, Puchong dan Broga, Semenyih telah berjaya dalam membatalkan cadangan projek tersebut.  Beberapa pemimpin yang kini dalam Kerajaan baru Malaysia telah memainkan peranan besar dalam bantahan ini. Jadi kami kecewa kerana mereka kini mendiamkan diri dan tidak membantah cadangan projek insinerator baru.

Sudah tiba masa untuk kerajaan Malaysia mengharamkan pembinaan insinerator sebab insinerator membazir sumber bernilai dan tidak secara magik dapat mengajaibkan sisa pepejal. Sebenarnya insinerator adalah pilihan pengurusan sisa yang paling mahal, menyebabkan pencemaran udara serta air, membazir bahan mentah, masih memerlukan tapak pelupusan untuk membuang abu, dan dengan itu mengancam kualiti air bawah tanah.

Insinerator juga menambahkan risiko ancaman kesihatan dan alam sekeliling. Insinerator merupakan sumber besar bahan pencemar berbahaya seperti dioksin, plumbum dan logam berat lain serta melepaskan gas toksik ke alam sekitar.  Kebanyakan dari pencemar ini memasuki bekalan makanan kita melalui rantaian makanan.  Insinerator juga melepaskan karbon monoksida, oksida sulfur serta nitrogen, hidrokarbon dan partikulat ke udara.

Kami juga bimbang bahawa loji WTE yang dicadangkan ini akan digunakan untuk membakar sisa baki (residual) dari industri kitar semula sisa plastik.  Apabila dibakar plastik akan melepaskan bahan pencemar organik tegar dan juga gas toksik yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

Dengan itu pelaburan berjuta-juta ringgit untuk sistem insinerasi perlu dialihkan kepada sistem mencegah sisa, mengurangkan penjanaan dan seterusnya ke arah sisa sifar yang dapat memaksimakan pelaburan dan peluang pembangunan ekonomi.

Pengkomposan adalah kunci untuk mencapai tahap alihan sisa 50% atau lebih dan boleh dilakukan dengan kos rendah. Kita perlu beri tumpuan kepada pengkomposan di rumah, diikuti pengkomposan di peringkat komuniti. Sekiranya sisa organik dikeluarkan dari sisa yang dikutip oleh kerajaan tempatan, jumlah sisa yang perlu dilupuskan akan berkurangan.

Peralihan ke arah masyarakat bebas-sisa telah bermula di banyak bandar seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Menggerak ke arah sisa sifar memerlukan tindakan dan kerjasama individu, komuniti, perniagaan, pengusaha, industri kitar semula dan pihak kerajaan di semua peringkat. Sebagai langkah mula, kerajaan Malaysia telah merangka rancangan tindakan ke arah sifar plastik sekali-guna.

Kini ada keperluan segera untuk menggubal peraturan untuk melarang pembinaan insinerator sisa.  Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kerajaan Malaysia untuk memilih sisa sifar sebagai wawasan, menggubal dan menguatkuasa perundangan untuk membolehkan dan merealisasikan inisiatif sisa sifar.

 

Surat Kepada Pengarang, 17 Disember 2018

 

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt