Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kelemahan Penguatkuasaan Undang-undang Punca Nelayan Pukat Rawa Sorong Bermaharajalela di Perairan Kedah – SAM

Bot rawa sorong ancam pembiakan hidupan laut dan sumber pendapatan nelayan pantai.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) merasa kesal kerana aktiviti nelayan pukat rawa sorong di perairan negeri Kedah masih berlarutan sehingga kini walau pun masalah itu serius berlaku sejak lebih lima tahun yang lalu.

Walau pun banyak aduan dan bantahan dibuat oleh nelayan-nelayan pantai di negeri ini kepada pihak berkuasa mengenai perkara tersebut tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil bagi mengatasinya.

Salah satu pangkalan bot rawa sorong.

Mengulas kejadian terbaru mengenai 600 nelayan pantai di kawasan Kota Kuala Muda hilang punca rezeki akibat aktiviti haram ini, SAM bersimpati dengan nasib nelayan terbabit dan menggesa Jabatan Perikanan serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelesaikan segera masalah itu.

SAM difahamkan pada tahun 2014 terdapat 195 buah bot pukat rawa sorong yang berpengkalan di 16 jeti di Kedah dan Perlis. Jumlahnya sekarang mungkin bertambah kerana permintaan ikan baja semakin meningkat dan tindakan berkesan gagal diambil oleh pihak berkuasa berkenaan ke atas para pengusaha bot ini.

Pukat rawa sorong adalah diharamkan penggunaannya oleh nelayan-nelayan di negara ini. Di bawah Akta Perikanan 1985,mereka yang di dapati bersalah kerana melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawahnya boleh dikenakan denda RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati penggunaan peralatan ini telah menyebabkan pembiakan hidupan laut terancam dan semakin pupus. Anak ikan dan udang (benih) mati dan musnah,manakala sumber pendapatan nelayan pantai merosot mencecah 70% kerana masalah tersebut.

SAM hairan mengapa masalah ini masih gagal ditangani oleh pihak berkuasa walau pun telah sekian lama mengancam sumber perikanan dan kehidupan lebih 2,000 nelayan pantai di Kedah dan Perlis.

Justeru itu SAM menggesa Jabatan Perikanan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dengan merampas alat tangkapan yang diharamkan ini di semua pengkalan di mana terdapatnya bot-bot pukat rawa sorong berlabuh dari Kuala Sungai Baru Perlis hingga ke Tanjung Dawai Kedah.

Kenyataan Media,7 Februari 2018

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt