Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

SAM SOKONG TAMAN NEGERI PULAU SEMBILAN DI PERAK DITUTUP

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyokong tindakan penutupan Taman Negeri Pulau Sembilan di daerah Bagan Datuk Perak oleh kerajaan negeri ini kepada semua aktiviti pelancongan berikutan keindahan alam semulajadinya yang kini terancam akibat aktiviti komersial.

Mengulas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai perkara itu di akhbar tempatan hari ini ( Utusan Malaysia : 5 April 2017 ), SAM berpendapat tindakan sedemikian adalah wajar demi melindungi ekosistem dan biodiversiti di kawasan berkenaan dari mengalami kemusnahan.

Menurut baginda, perbuatan para pengusaha yang tidak menghormati peraturan dan kawalan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa menyebabkan berlakunya masalah ini. Sultan Nazrin juga menekankan mengenai perancangan pembangunan yang seimbang dengan hubungan manusia dan alam sekitar.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan mengenai 35 batang sungai di negeri Perak yang terdedah kepada pencemaran yang tinggi akibat aktiviti perindustrian,projek pembangunan,pembukaan tanah,perlombongan dan pembalakan. Manakala jumlah pembuangan sisa pepejal di negeri ini juga meningkat 20% pada tahun lalu (2016) berbanding tahun sebelumnya.

SAM berharap kerajaan Perak dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan perancangan dengan lebih teliti sebelum membuat keputusan dan melaksanakan sesuatu projek pembangunan agar alam sekitar di negeri ini tidak mengalami kemusnahan.

Tinjauan SAM mendapati banyak kawasan di negeri Perak mengalami masalah alam sekitar yang meruncing. Kegiatan pembalakan dan perusahaan projek akuakultur telah mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan dengan begitu serius. Banyak kawasan tadahan air terancam dan kejadian banjir kilat yang berlaku di negeri ini sejak beberapa tahun kebelakangan.

Di daerah Manjung dan Kerian misalnya beribu hektar hutan paya bakau dimusnahkan sekali gus mengancam hidupan laut dan sumber pendapatan nelayan tempatan.

Justeru SAM meminta pihak kerajaan dan rakyat negeri ini memberi perhatian berat terhadap titah Sultan Nazrin dan harapan baginda agar alam sekitar semulajadi di Perak terpelihara dan selamat dari sebarang bentuk ancaman.

Kenyataan Media,5 April 2017

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt