Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kerajaan Perlu Tingkatkan Denda Terhadap Tempat Makan dan Kilang Makanan yang Kotor

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya memeriksa semua kilang makanan untuk memastikan mereka mematuhi standard kebersihan yang tinggi bagi amalan pengeluaran makanan. Kami telah membuat gesaan supaya memantau pengeluar makanan ini sejak berdekad, tetapi serbuan hanya dijalankan secara tidak tetap, dengan demikian menyebabkan sesetengah kilang ini melanggar undang-undang.

Dalam laporan media baru-baru ini, beberapa kilang makanan di Pulau Pinang diberitahu supaya menghentikan semua operasi bagi tujuan pembersihan selama dua minggu selaras dengan Seksyen 11 Akta Makanan 1983. Empat kilang itu dikenakan denda berjumlah RM9,000, yang secara puratanya RM2,200 merupakan satu jumlah yang kecil bagi pengeluar makanan ini.

Menurut laporan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang itu segera bertindak selepas menerima aduan daripada pengguna bahawa mereka mendapati bahan asing ditemui dalam bahan makanan mereka. Kami merasa amat kecewa dengan pendekatan ‘pengurusan melalui aduan’ oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang daripada menjalankan pemeriksaan mengejut secara berkala ke atas kilang makanan.

Kami berpendapat bahawa Akta Makanan 1983 perlu dipinda memandangkan Seksyen 11 Akta itu tidak menjadi pencegah: “perintah menutup tidak melebihi empat belas hari bagi mana-mana premis menyediakan atau menjual makanan” dan “jika disabitkan kesalahan boleh  dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.”

Denda yang ditetapkan oleh Seksyen 11 Akta itu amat tidak memadai dengan mengambil kira bilangan penduduk yang ramai akan terjejas oleh penyebaran makanan tercemar daripada kilang. Satu contoh daripada kes seperti ini ialah keracunan mi loh see fun pada 1988 yang meragut nyawa 13 kanak-kanak dan menyebabkan kesan sampingan kesihatan kepada yang lain di Perak.

Seperti mana dalam kes tempat makan yang kotor, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mempunyai kuasa yang terhad dengan hanya mengeluarkan kompaun kepada tempat makan kotor.

Sehingga kini, hanya Jabatan Kesihatan mempunyai kuasa untuk menutup premis kotor dan haram di bawah Seksyen 38 (1) Akta Undang-undang Kecil Tempat Makan 1991. Oleh itu, MBPP pada 2013 meminta Kementerian Kesihatan agar memberikan mereka kuasa untuk menutup tempat makan kotor. Kami menyokong langkah itu memandangkan terdapat banyak premis kotor dan haram serta mereka yang mengulangi kesalahan yang sama.

Terdapat keadaan di mana pada masa lepas apabila CAP mendedahkan tempat makan yang meletakkan makanan di atas lantai dan sesetengah tempat makan menyediakan makanan mereka berdekatan dengan tandas. Pegawai Jabatan sering menemui tempat makan yang dipenuhi dengan tikus dan makhluk perosak lain, atau terdapat bukti kehadiran makhluk perosak ini dalam bentuk najis atau bangkai.

Potensi lain terhadap bahaya kesihatan ialah dengan memenuhkan bahan untuk masakan ke dalam peti sejuk atau peti sejuk beku dan menyimpan makanan proses bersama dengan daging mentah. Ini akan meningkatkan pencemaran silang terutamanya makanan proses kerana ia hanya akan dipanaskan tetapi tidak dimasak sepenuhnya sebelum dihidangkan.

Amalan tidak bersih dan kotor seperti itu meletakkan pelanggan tempat makan ini berisiko mengalami keracunan makanan. Ia juga akan mencemarkan nama baik mereka yang mematuhi standard amalan pengendalian makanan.

Pegawai pelesenan kesihatan persekitaran perlu membuat serbuan terhadap semua tempat makan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka terutamanya yang mengulangi kesalahan yang sama. Alasannya kerana di bawah Seksyen 39 Undang-undang Kecil, sesiapa yang melanggar mana-mana peruntukan undang-undang ini “sekiranya melakukan kesalahan dan didapati bersalah denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali, dan dalam kes kesalahan seterusnya, sejumlah tidak lebih dua ratus ringgit bagi setiap hari kesalahan dilakukan akan diteruskan selepas didapati bersalah.”

Kami menggesa MBPP dan MBSP mempertimbangkan untuk meningkatkan denda kepada “tidak lebih daripada RM15,000” kerana denda RM2,000 itu satu jumlah yang kecil kepada rangkaian kedai makanan yang pendapatan hariannya boleh melebihi RM15,000. Inilah mungkin sebabnya kenapa sesetengah tempat makan berani melanggar undang-undang kecil berulang kali. Bagi kilang yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kesihatan, kami menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan denda RM30,000 selepas mempertimbangkan sikap kurang bertanggungjawab dan kemungkinan kesan negatif kesihatan terhadap pengguna.


Kenyataan Akhbar, 22 Julai 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt