Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

PELABELAN PRODUK MAKANAN ASING

Tinjauan yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini menunjukkan produk makanan asing dari China, Thailand, Bangladesh, Vietnam dan Korea tidak mematuhi Peraturan Makanan 1985 Bahagian IV (Pelabelan) dan Akta Perihal Dagangan 1972 Bahagian II Seksyen 6(1).

Label pada produk ini tidak mempunyai nama dan alamat pengimport, pengedar dan ramuan yang terkandung di dalam produk. Tambahan pula, bahasa yang digunakan pada label juga menggunakan bahasa negara berkenaan dan sepatutnya dalam bahasa Malaysia sepertimana yang diperlukan di bawah Akta itu.

Sepatutnya produk ini tidak seharusnya dibenarkan memasuki negara ini jika kita benar-benar serius dan prihatin mengenai kesihatan dan agama rakyat kita.

Kita mungkin mengandaikan produk yang dijual adalah selamat untuk dimakan tetapi terdapat perkara yang mungkin kita terlepas pandang. Kita perlu memastikan jika makanan itu Halal atau sama ada ramuannya boleh menyebabkan kesan sampingan atau dalam kes yang lebih serius boleh menyebabkan kematian.

Contohnya seseorang itu mungkin akan jatuh dan mati akibat kejutan anaphylactic jika mereka memakan produk makanan yang mengandungi ramuan yang menyebabkan alahan kepada mereka. Label yang disediakan juga tidak memberikan sebarang makna jika ramuan itu ditulis di dalam bahasa asing yang tidak dapat dibaca oleh rakyat Malaysia. Disebabkan oleh perkara ini mereka mungkin akan di masukkan ke hospital atau mati.

Label merupakan sumber maklumat penting yang membantu kita untuk membuat pilihan pemakanan yang selamat dan bijak.

Pengguna juga terdedah kepada bahan penambah makanan yang tidak diketahui mengenai perkara seperti penggunaan nombor E dan nama bahan kimia. Kemungkinan bagi pengeluar untuk menyatakan E102 sebagai ganti sebatian kuning tartrazine yang mana setengah orang mungkin alah kepadanya terutama sekali mereka yang tidak tolerans kepada pewarna azo.

Pengguna juga mungkin tidak mengetahui bahawa E249 adalah nombor E bagi kalium nitrit dan E252 bagi kalium nitrat. Bahan kimia ini digunakan kebanyakannya di dalam daging yang diawet dan ia boleh ditukarkan kepada nitrosamines oleh sistem penghadaman. Kebanyakan nitrosamines adalah karsinogen.

Walaupun nombor E diterima sebagai kod untuk bahan penambah makanan di Kesatuan Eropah, Malaysia perlu mengharamkan penggunaan nombor E. Ini kerana pengguna mungkin tidak mengetahui apakah yang mewakili kod itu.

Tanggungjawab untuk memastikan produk makanan import mematuhi undang-undang adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; manakala isu halal/haram adalah di bawah kuasa JAKIM; dan industri makanan (termasuk pengimport) perlu mematuhi pelbagai Akta, Peraturan dan Garis Panduan yang telah ditetapkan.

Jangka hayat produk makanan yang mudah rosak perlu dicetak dengan jelas. Pihak berkuasa juga perlu memastikan makanan yang telah tamat jangka hayatnya tidak dibungkus semula dan dicetak dengan tarikh jangka hayat baharu pada bungkusan baharu. Penentuan jangka hayat amat kritikal kerana tanggungjawab itu adalah terletak kepada pihak pengeluar untuk melakukannya.

Untuk memudahkan kawalan yang lebih baik terhadap pengimportan produk makanan, kami mencadangkan produk makanan hanya perlu dihantar ke pelabuhan yang khusus sebelum ia diedar kepada pengimport. Ini untuk membolehkan pemantauan yang lebih berkesan produk makanan yang memasuki negara ini untuk memastikan ia mematuhi keperluan perundangan kita.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa memastikan produk makanan yang mempunyai label dalam bahasa asing ditarik keluar dari rak dan untuk memastikan peruncit tidak menjual produk seperti itu di kedai mereka. Melainkan ia hanya mempersendakan undang-undang yang sedia ada.

Kenyataan Akhbar, 3hb Ogos 2017

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt