Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Harga Ubatan Kita Yang Tinggi Membunuh Pesakit

Kawal segera harga ubatan kita sekarang

Perbelanjaan ke atas ubatan merupakan bahagian terbesar daripada jumlah perbelanjaan kesihatan. Perbelanjaan Kementerian Kesihatan (KK) ke atas ubatan semakin meningkat daripada RM1.61 bilion pada 2010; kepada RM1.76 bilion pada 2011; RM1.98 bilion pada 2012 dan RM2.2 bilion pada 2013. Ia merupakan peningkatan 36.5% dalam tempoh 3 tahun.

Perbelanjaan perubatan hanya akan meningkat di masa hadapan dengan pertambahan penduduk yang semakin berusia, anjakan kepada penyakit kronik, paten baharu ubatan pada harga monopoli, dan peningkatan permintaan untuk penjagaan kesihatan.

Memastikan akses sejagat kepada ubatan dan memenuhi keperluan kesihatan penduduk merupakan cabaran utama.

Kebanyakan perbelanjaan ubatan dibayar daripada duit poket (OOP). Satu kajian (Babar 2003) mendedahkan bahawa 79% daripada pesakit memperolehi ubatan mereka daripada sumber swasta, membayangkan bahawa sebahagian besar pengguna membayar untuk ubatan mereka daripada duit poket mereka sendiri.

Harga ubatan yang tinggi menjadikan ubat yang mahal tidak dapat diperolehi oleh pesakit dan dalam proses ini mungkin membunuh mereka. Terdapat kekurangan ubatan HIV yang mampu untuk dibeli dan rawatan kanser yang amat mahal mewujudkan bencana kewangan dalam kalangan pesakit kanser, menyebabkan mereka berhenti daripada menerima rawatan. Satu kajian menganggarkan bahawa 19% daripada mereka berhenti daripada menerima rawatan.

Terdapat keperluan segera untuk mengawal harga ubatan memandangkan ia semakin meningkat, sehingga di luar kawalan. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melihat kenapa harga ubatan meningkat naik dan apa yang perlu dilakukan.

Penswastaan Bekalan Ubatan Meningkatkan Harga

Pada 1994, perolehan ubatan dan stor ubatan KK diswastakan kepada Remedi Farmaseutikal, syarikat subsidiari United Engineers Malaysia (UEM), syarikat pembinaan yang membawa kepada kos ubatan meningkat dua kali ganda pada tahun berikutnya.

Kajian pada 1997 kemudiannya menunjukkan bahawa peningkatan harga sehingga 3.3 kali selepas penswastaan. Remedi Farmaseutikal dinamakan semula sebagai Pharmaniaga. Pharmaniaga memegang konsesi ekslusif yang kemudiannya diperbaharui untuk mengedarkan produk ubatan kepada hospital kerajaan dan klinik selama 10 tahun yang akan tamat pada 30 November 2019.

Kajian baru-baru ini mengesahkan aliran peningkatan berkekalan dalam harga ubatan penting tertentu (seperti antijangkitan dan ejen kardiovaskular) selepas penswastaan dalam sektor awam tidak seimbang dengan kadar inflasi.

Kenaikan Harga Yang Tinggi Dalam Sektor Awam

Dalam satu kajian oleh Babar et al (2007), pengarangnya menyatakan bahawa kos ubatan yang tinggi adalah disebabkan oleh kenaikan harga yang tinggi dalam sektor penjagaan kesihatan swasta.

Dalam farmasi swasta, produk yang dipatenkan adalah pada harga purata 16 kali lebih tinggi berbanding harga rujukan antarabangsa yang direkodkan (IRPs), manakala ubatan generik (ubat yang tamat patennya) berharga kira-kira 6.6 kali lebih tinggi.

Pemberian ubatan oleh doktor di klinik juga mempunyai harga yang tinggi, 15 kali lebih tinggi berbanding yang direkodkan IRPs manakala ubat generik adalah 7.5 kali lebih tinggi.

Bagi harga runcit di farmasi kenaikannya adalah 25-38% bagi produk yang dipaten dan 100-140% bagi generik.

Perbezaan besar antara harga antarabangsa dan tempatan dalam sektor yang berbeza dan antara ubatan yang dipaten dan generik menyarankan bahawa harga boleh diturunkan dengan ketara.

Pengarang mengulas bahawa “sistem penyahkawalseliaan harga” di mana pengeluar, pengedar dan peruncit menetapkan harga ubatan tanpa kawalan kerajaan (atau campurtangan) telah melihat harga ubatan meningkat lebih cepat berbanding di negara maju, menunjukkan kos perubatan yang tinggi.

Penggunaan Ubat Generik Amat Rendah

Kajian 2007 juga mendapati ketersediaan ubatan dalam sektor awam amat rendah, hanya 25% daripada ubatan generik yang tersedia.

Kajian WHO-HAI (2005) mendapati banyak contoh ubatan yang tidak lagi tertakluk kepada paten tersedia hanya sebagai jenama yang dipaten dalam sektor awam (contohnya beclometasone inhaler, phenytoin dan prozosin).

Ini menunjukkan terdapat keutamaan bagi jenama paten yang lebih mahal sebagai ganti ubat generik yang lebih murah dalam perolehan ubatan dalam sektor awam. Pada 2015, kurang daripada separuh ubatan yang digunakan dalam kemudahan KK adalah ubat generik.

Kekurangan Ubat HIV yang Berpatutan

Ketersediaan ubatan HIV yang rendah seperti indinavir, nevirapine dan zidovudine didapati di hospital awam, farmasi swasta dan pemberian ubat oleh doktor di klinik.

Ini tidak seharusnya menjadi kes di hospital awam memandangkan kerajaan Malaysia telah mengeluarkan lesen wajib pada 2003 untuk 2 tahun di bawah “Kegunaan Kerajaan” dan membenarkan syarikat tempatan untuk mengimport ubatan HIV kombinasi dos tetap versi generik didanosine, zidovudine dan lamivudine dari pengeluar ubat generik India, Cipla untuk digunakan oleh KK.

Ketersediaan ubatan yang rendah di hospital awam memaksa pesakit untuk membeli ubatan ini daripada farmasi swasta dan pemberian ubat oleh doktor di klinik. Farmasi swasta menyimpan ubatan generik sedikit sahaja dan lebih mengutamakan pemberian ubatan dengan jenama paten yang lebih mahal yang kurang terjangkau.

Ubat Terlalu Mahal Untuk Orang Ramai

Dalam istilah berpatutan, kajian juga mendedahkan bahawa sebahagian besar daripada penduduk tidak mampu untuk membayar untuk ubat-ubatan mereka dalam sektor swasta.

Rawatan bagi gangguan jantung, tekanan darah tinggi, dan diabetes menggunakan jenama paten amat mahal dan bersamaan dengan beberapa hari gaji.

Ini mempunyai kesan langsung ke atas morbiditi dan kematian, perlu diingat bahawa penyakit tidak berjangkit (NCDs) seperti kanser, diabetes, obesiti, strok, dan penyakit jantung dilihat semakin meningkat dengan kadar yang amat membimbangkan sebagai satu wabak dan antara 10 penyebab utama kematian di hospital kerajaan. Terdapat keperluan untuk meningkatkan ketersediaan ubatan ini dalam sektor awam.

Pesakit Kanser Berdepan “Bencana Kewangan”

Menurut kajian Asean oleh Australian George Institute for Global Health, kira-kira separuh (45%) daripada pesakit kanser Malaysia menderita daripada “bencana kewangan” setahun selepas mereka didiagnosis.

Sekitar 51% akan ditolak kepada “kesukaran ekonomi” dengan 49% daripada mereka sudah pun menggunakan semua simpanan peribadi manakala 39% daripada semua responden tidak dapat membayar untuk ubat-ubatan mereka.

Daripada responden itu, 35% tidak dapat membayar bagi bayaran perundingan perubatan, 22% tidak lagi mampu untuk membayar sewa dan gadai janji mereka, manakala 19% daripada mereka berhenti daripada menerima rawatan.

Kajian mendapati pesakit menghadapi masalah kewangan akibat perbelanjaan menggunakan duit poket sendiri untuk membayar pinjaman, hutang, dan kehilangan aset dan perbelanjaan ubatan dan rawatan yang tinggi.

Kanser merupakan pembunuh ketiga terbesar di Malaysia. Kira-kira 100,000 rakyat Malaysia menderita akibat kanser setiap tahun dan 1 dalam 4 rakyat Malaysia mendapat kanser menjelang usia 75 tahun.

Ini menggambarkan betapa perlunya akses yang lebih berpatutan kepada penjagaan dan rawatan kanser. Kos ubatan penting yang tinggi dan amat mustahak untuk menjadikannya lebih mudah untuk diperolehi dan dengan harga yang berpatutan untuk penduduk menjadi cabaran kepada kerajaan untuk memajukan strategi jangka panjang dan dasar pilihan untuk menjadikannya boleh dijayakan.

Lebih Mahal Berbanding Harga Antarabangsa

Kajian mendapati bahawa harga perolehan sektor awam amat tinggi bagi jenama asal yang dipatenkan. Contohnya, dalam perolehan bagi sektor awam, nisbah harga median (MPR) 14 ubatan yang dipatenkan adalah 2.41 kali harga antarabangsa, manakla bagi 26 kebanyakan ubat generik yang dijual (MSG) dan produk generik harga paling rendah (LPGs), nisbah harga median adalah 1.56 dan 1.09 kali harga antarabangsa masing-masing.

MPR daripada 4 ubatan yang dipatenkan, fluoxetine, loratadine, amlodipine, dan simvastatin adalah lebih daripada 10 kali harga antarabangsa. Pola harga tinggi dalam sektor awam menunjukkan bahawa terdapat masalah dalam perolehan dan pengedaran.

Harga tinggi dalam farmasi runcit swasta dan harga tinggi dalam jenama yang dipatenkan dan harga yang tinggi ubat generik yang diberikan oleh doktor dalam sektor klinik menunjukkan bahawa pasaran yang menetapkan harga kepada apa yang pasaran boleh tanggung. Perbezaan harga yang besar antara ubatan paten dan generik mendedahkan bahawa persaingan bukanlah menghasilkan harga jenama paten yang lebih rendah.

Ubatan yang Dipatenkan dengan Harga yang Mahal Menguasai Pasaran

Di Malaysia, terdapat pembekal yang memonopoli ubatan yang dipatenkan dengan pengimportan dan pengedaran ubatan yang dipatenkan dikawal oleh syarikat farmaseutikal multinasional.

Ubatan yang dipatenkan menguasai pasaran dengan bahagian pasaran terbesar kira-kira 70%. Harga ubatan yang tinggi dikaitkan dengan kedudukan monopoli syarikat farmaseutikal asing dan perlindungan paten di Malaysia.

Pengarang menyatakan bahawa kenaikan harga yang tinggi ke atas ubat generik dalam kajian itu menyarankan bahawa harga ubat yang dipatenkan digunakan sebagai penanda untuk harga ubat generik. Oleh itu harga ubatan yang dipatenkan yang tinggi menjadi insentif bagi pemberian ubat oleh doktor di klinik untuk mengenakan bayaran yang berlebihan untuk ubat generik.

Kekurangan Kawalan Harga

Jelas, kekurangan kawalan harga mengakibatkan peningkatan kos ubatan yang kemudiannya membawa kepada peningkatan dalam perbelanjaan ubatan di sektor awam dan swasta.

Apabila semua pemain dalam industri farmasi termasuk pengeluar, pengedar, pemborong dan peruncit bebas untuk menetapkan harga mereka sendiri, ini membawa kepada harga ubatan yang tinggi dan keuntungan yang besar.

“Pasaran bebas” memudaratkan kepada akses untuk ubatan berpatutan dan pengguna membayar harga berlebihan akibat kenaikan yang berlebihan. Membiarkan pembiayaan dan bekalan ubatan kepada pasaran mungkin mengagalkan untuk mencapai objektif kesihatan awam.

Pasaran berfungsi baik untuk masyarakat apabila terdapat persaingan harga, komprehensif dan maklumat yang tepat, bekalan ubatan yang mencukupi dan pengguna boleh membuat pilihan dengan tepat. Di bawah situasi harga semasa ini bukanlah kesnya.

Saranan

Harga ubatan yang dipatenkan yang tinggi merupakan ancaman kepada sistem penjagaan kesihatan baik dalam negara membangun dan negara maju berpendapatan tinggi. Seperti peraturan harga yang boleh didapati di kebanyakan negara Timur Tengah dan Eropah, Australia, New Zealand, Kanada dan Asia Timur. Bagaimanapun, Malaysia tidak melaksanakan sebarang kawalan harga dan amalan peraturan.

CAP difahamkan bahawa kawalan harga adalah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan bukannya Kementerian Kesihatan. Kami menyarankan peruntukan khas dalam undang-undang mestilah dibuat untuk membenarkan Kementerian Kesihatan bagi mengawal harga ubatan memandangkan ia merupakan bidang kepakaran yang lebih baik dikendalikan oleh KK.

CAP menggesa kerajaan menggubal dasar harga ubatan yang komprehensif. Ini seharusnya termasuklah pemantauan dan mengawal harga ubatan dan akses kepada ubatan dengan mekanisma kawalan harga; menetapkan dan mengawal jualan borong maksimum dan kenaikan harga runcit; mengawal harga ubat yang dipaten memandangkan ia merupakan penyumbang utama kepada harga runcit; dan mengawal harga ubat generik.

Ia juga seharusnya menggalakkan penggunaan ubat generik yang lebih berkesan dan selamat dan memastikan penggunaannya dalam sektor awam dengan menjadikan penggantian ubat generik mandatori.

Ia juga mestilah mewujudkan sistem perolehan yang telus dan komprehensif dalam sektor awam yang termasuk tender terbuka yang berdaya saing dengan ketelusan harga; dan menggunakan harga rujukan antarabangsa atau farmaekonomi atau garis panduan.

Kawalan harga ubatan oleh kerajaan amat penting untuk melindungi golongan miskin, menggalakan sistem kesihatan yang lebih saksama dan mencapai hasil kesihatan yang lebih baik.

Surat Kepada Pengarang, 18 Mei 2017

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt