Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Penduduk Malaysia perlu kurangi gula sehingga 80%

alt

14 November adalah Hari Diabetes Sedunia. Sehubungan ini Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan para pengguna supaya mengurangkan pengambilan gula sehingga 80% untuk membendung wabak diabetes yang semakin meningkat di negara ini.

 

Malaysia berada di tangga teratas dalam kalangan negara-negara ASEAN dengan jumlah paling ramai penghidap diabetes dan berada di tangga ke 6 di rantau Pasifik Barat.

Kadar kelaziman kes-kes diabetes di Malaysia telah meningkat ke tahap yang membimbangkan. Ianya 1-2% pada 1960, 6.3% pada 1985, 8.3% pada 1996 dan 14.9% pada 2006. Pada 2011 15.2% penduduk dewasa Malaysia adalah penghidap diabetes atau diabetik. Kini kira-kira 3.6 juta orang dewasa dianggarkan diabetik; ini bermakna penduduk negara ini telah melampaui ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 807,000 diabetik pada 2025.

alt

Peningkatan kes-kes diabetes boleh dikaitkan dengan pengambilan gula yang tinggi. Gula menggemukkan kita dan mereka yang obes lebih berisiko menghidap diabetes Jenis 2.

Penduduk Malaysia mengambil 26 sudu teh gula setiap hari, menjadikan kita berada di tangga ke 8 sebagai pengguna terbesar gula.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kempennya menentang obesiti telah menyarankan pengambilan gula kepada hanya 5 sudu teh sehari.

Untuk memiliki tubuh yang sihat dan mengambil gula mengikut kadar yang disarankan oleh WHO, kita perlu mengurangkan pengambilan gula sehingga 80% daripada kadar semasa iaitu 26 sudu teh kepada 5 sudu teh gula.

alt

Namun BUKAN mudah bagi rakyat Malaysia untuk mengurangkan pengambilan gula mereka hingga ke paras yang menyihatkan. Kita pada hakikatnya mengambil terlalu banyak makanan yang diproses yang kaya dengan gula. Gula yang terkandung di dalam makanan seumpamanya pula disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai.

Misalnya tiap setin kola atau minuman ringan lain mengandungi antara 7-8 sudu teh gula, iaitu 1.4-1.6 kali melebihi paras 5 sudu teh sehari yang disarankan oleh WHO. Malah jika anda minum cuma setin minuman ringan, ia sudah melebihi paras gula yang disarankan oleh WHO. Bagaimana jika anda terus mengambil makanan dan minuman bergula lain sepanjang hari?

Contoh-contoh lain gula yang tersembunyi dalam makanan yang diproses:

> Sebotol minuman ringan mengandungi 12 sudu teh gula (2.4x paras WHO)

> Satu coklat papan kecil mengandungi 6-9 sudu teh gula (1.2-1.8x paras WHO)

> Bijirin untuk bayi (350gm) mengandungi 22.8 sudu teh gula (4.6x paras WHO)

> Bijirin sarapan untuk kanak-kanak (220gm) mengandungi 15.4 sudu teh gula (3x paras WHO)

> Minuman malt koko (500gm) mengandungi 45.5 sudu teh atau 40% gula (9.1x paras WHO)

> Minuman susu malt (350gm) mengandungi 23.5 sudu teh gula (4.7x paras WHO)

> Minuman botol istonik mengandungi 4.5 sudu teh gula (0.9x paras WHO).

Dari contoh di atas, gula kelihatan ditambah ke dalam makanan yang diproses untuk menyedapkan rasa dan menjadikannya tahan lama. Pengguna tidak mampu mengawal jumlah gula yang ditambah kepada makanan yang diproses. Oleh itu, sebaiknya elakkan makanan yang diproses untuk mengurangkan pengambilan gula.

Anda tidak perlu mengambil walau satu auns gula dalam diet kerana makanan berkarbohidrat akhirnya akan memecah sebagai glukosa. Gula yang berlebihan di dalam tubuh ditukarkan kepada glikogen, yang jika tidak digunakan akan bertukar kepada lemak.

Menurut Profesor John Yudkin, pengarang Pure, White and Deadly, “Semua khasiat makanan yang diperlukan oleh manusia boleh dipenuhi tanpa mengambil walau sesudu gula, putih mahupun perang, dengan sendirinya atau dalam makanan lain.”

Penyakit diabetes bukan sahaja memberi kesan kepada sumber negara malah turut menjejaskan kesihatan penghidapnya seperti kaki terpaksa dipotong, kebutaan, kegagalan ginjal dan kerosakan saraf.

Diabetes merupakan penyakit kronik yang boleh dicegah. Bagi mereka yang telah menghidapnya, diabetes boleh dikawal atau dicegah komplikasinya dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan memilih makanan yang seimbang dan berkhasiat.

alt

Sehubungan dengan peningkatan kes diabetes yang membimbangkan dalam kalangan penduduk, langkah-langkah segera perlu diambil untuk membendung pengambilan gula.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya:

> Mengharamkan penggunaan Sirap Jagung Tinggi Fruktosa (HFCS), pengganti gula yang murah dan tidak berkhasiat, dalam makanan.

> Mengarahkan pengeluar supaya mengelak atau mengurangkan kandungan gula dalam produk mereka.

> Meminda undang-undang pelabelan dengan mempamerkan kandungan sebenar gula dalam makanan dalam sukatan sudu teh.

> Menghentikan iklan-iklan makanan dan minuman bergula, dan makanan serta minuman remeh lain dalam television sewaktu masa tontonan kanak-kanak.

> Mengharamkan penjualan makanan ringan di kantin sekolah dan di luar kawasan sekolah supaya pelajar tidak membeli makanan yang tidak berkhasiat.

> Memindahkan mesin-mesin layan diri yang menjual makanan ringan dan minuman bergula dari kawasan-kawasan seperti hospital, lapangan terbang dan sekolah. Sebaliknya menyediakan ‘water dispenser’ di kawasan-kawasan terbabit.

> Melancarkan kempen besar-besaran dalam media massa untuk mendidik orang awam mengenai bahaya diabetes.

> Mewajibkan pengeluar makanan meletakkan label amaran pada produk yang mengandungi gula.

> Pengguna sendiri perlu mengurangkan pengambilan gula mereka dengan tidak memakan makanan atau minuman yang diproses terutama minuman ringan – yang juga dikenali sebagai “liquid candy” di Barat.


Kenyataan Akhbar, 14hb. November 2014

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt