Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Berwaspadalah: Pandemik Covid 19 hasilkan ramai penipu

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati orang ramai agar berwaspada dengan mereka yang kemungkinan seorang penipu, terutama ketika kita sedang berdepan dengan pandemik Covid-19. Terdapat beberapa laporan kebelakangan ini mengenai penipu yang menyamar sebagai wakil agensi kerajaan yang sah seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) mahupun institusi kewangan dan koperasi untuk menipu wang rakyat.

Dalam kes terbaharu, syarikat pemberi wang pinjaman menghubungi pencarum KWSP dan menawarkan pinjaman ‘mudah’ sebelum mereka mencecah usia boleh mengeluarkan simpanan KWSP mereka, dan juga bagi mereka yang ingin mengeluarkan wang daripada Akaun 2. Pemberi wang pinjaman ini tidak menyebut akan kadar faedah yang dikenakan ke atas pinjaman sehingga selepas pinjaman dipersetujui dan mereka menyalahgunakan logo KWSP dan menyamar dengan mengatakan pinjaman itu memenuhi tuntutan syariah.

Penipu terbabit menyedari bahawa ramai orang terdesak untuk mendapatkan wang tunai atau berhasrat melabur wang mereka dengan pulangan lumayan berbanding yang ditawarkan oleh institusi kewangan. Justeru, penipu tersebut mengambil kesempatan atas kelemahan dan rasa tidak selamat pengguna mengenai kedudukan  kewangan mereka.

Sehubungan itu, kami menggesa pengguna agar cuma mengambil pinjaman dari peminjam wang berlesen sebagai usaha terakhir, bukan untuk mengubah suai rumah, membeli perabot atau barangan lain yang tidak diperlukan. Meskipun begitu, pengguna sepatutnya memeriksa terlebih dahulu nombor pendaftaran syarikat di laman sesawang Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di https://emaps.kpkt.gov.my/emaps/emaps/index.cfm.  Jika pengguna tidak berhati-hati, mereka mungkin menjadi lebih miskin daripada yang dijangkakan disebabkan kadar faedah yang tinggi dan berdepan risiko diganggu oleh jerung pinjaman jika terlambat membayar semula pinjaman.

Pengguna perlu sedar ketika “pemberi pinjaman” meminta dibayar kadar faedah lebih dari 12 peratus kerana di bawah Seksyen 17 (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, mereka tidak seharusnya mengenakan lebih dari 12 peratus setahun bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus bagi pinjaman tanpa cagaran.

Adalah menjadi satu kesalahan bagi mereka di bawah umur 18 tahun di bawah Seksyen 8 Akta tersebut untuk mengambil pinjaman, sementara perjanjian pinjaman wang perlu dilakukan di hadapan seorang peguam, Pesuruhjaya Sumpah, Pegawai Daerah, Jaksa Pendamai, atau mana-mana orang yang bertauliah bagi tujuan di bawah Seksyen 17 (1) Akta sama.

Kami ingin menasihati pengguna agar tidak terpedaya dengan panggilan telefon daripada mereka yang mendakwa sebagai anggota polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia, atau Jabatan Hasil Dalam Negeri. Pihak berkuasa dari badan-badan ini tidak akan membuat panggilan untuk mendapatkan maklumat peribadi atau mengugut untuk datang ke rumah dan menahan seseorang atau menyita harta benda. Jika benar mereka merupakan pihak berkuasa, biasanya mereka akan meminta orang terbabit untuk datang ke pejabat melalui surat. Jika ada sesiapa mendapat panggilan seumpamanya, beliau hanya perlu memaklumkan pemanggil bahawa beliau akan berurusan secara langsung dengan pegawai berkenaan di pejabat, bukan melalui telefon.

Mereka yang telah tertipu dinasihatkan supaya melaporkan kepada pihak polis di samping memaklumkan kepada pihak berkuasa berkenaan seperti KPKT, sama seperti kes pemberi pinjam wang di atas. Setiap laporan diambil kira kerana ia akan menjadi sebahagian perangkaan untuk menyedarkan penguatkuasa undang-undang mengenai betapa serius dan meluasnya masalah ini. Pihak polis perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan membanteras penipu yang ada secara proaktif dan tidak menunggu untuk bertindak hanya selepas menerima aduan dari pengguna.


Kenyataan Akhbar, 7 Ogos 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt