Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kemurungan: Adakah Malaysia Bersedia Untuk Menangani Krisis Kesihatan Mental Ini?

Laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengenai ‘Kemurungan dan Gangguan Mental Biasa yang lain menganggarkan bahawa pada 2015 terdapat lebih 1.1 juta kes gangguan kemurungan di Malaysia[1]. Laporan itu seterusnya menyatakan kemurungan ialah penyumbang utama kepada kematian akibat membunuh diri yang merupakan 800,000 atau 1.5% daripada semua kematian di seluruh dunia. Jika kita menganggarkannya untuk negara ini, pada 2015 lebih 155,000 kematian direkodkan di Malaysia[2], kira-kira 2,300 kemungkinan akibat bunuh diri. Malangnya tidak terdapat perangkaan yang diterbitkan berhubung kematian akibat bunuh diri di Malaysia.

Kemurungan dianggap oleh WHO sebagai penyumbang terbesar kepada kecacatan. Di seluruh dunia jumlah mereka yang mengalami kemurungan dianggarkan 322 juta pada 2015, bersamaan 4.4% daripada penduduk dunia. Jumlah itu menganggarkan bilangan mereka yang hidup dengan kemurungan meningkat 18.4% antara 2005 dan 2015.

Menurut laporan lain oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Sekolah Kesihatan Awam Harvard[3], gangguan kesihatan mental merupakan kehilangan produktiviti tertinggi.

 

Jumlah kos penyakit mental global (rawatan dan kehilangan produktiviti) adalah dianggarkan AS$2.5 trilion pada 2010 dan diramalkan meningkat kepada AS$6.0 trilion menjelang 2030. Ini beberapa kali lebih tinggi berbanding penyakit tidak berjangkit lain seperti penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser (lihat jadual di bawah).

Gangguan kemurungan dicirikan oleh kesedihan, kehilangan minat atau gembira, merasa bersalah atau harga diri yang rendah, gangguan tidur atau selera, merasa letih dan kurang tumpuan. Kemurungan boleh berpanjangan atau berulang semula, boleh menjejaskan kemampuan individu untuk berfungsi di tempat kerja atau sekolah atau menghadapi kehidupan harian.

Persoalan yang timbul di sini ialah sejauh mana persediaan kita sebagai sebuah negara untuk menangani krisis ini. Sejak keluarnya data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mengenai kesihatan mental, Kementerian Kesihatan tidak mengumumkan sebarang pelan konkrit untuk menangani isu ini. Rawatan kemurungan memerlukan sepasukan kumpulan profesional yang terdiri daripada ahli psikiatri dan ahli psikologi memandangkan kaunseling dan ubatan perlu bersama.

WHO menyarankan nisbah sekurang-kurangnya 1 ahli psikiatri kepada 100,000 pesakit di negara membangun[4]. Nisbah bagi Malaysia ialah 1 ahli psikiatri kepada 125,000 pesakit[5] dan 1 ahli psikologi kepada 110,000 pesakit. Angka ini adalah pada purata dan situasinya mungkin lebih tinggi di kawasan luar bandar di mana nisbah boleh menjadi setinggi 1 profesional kepada 200,000 pesakit. Sistem kesihatan di seluruh dunia sedang berusaha untuk memenuhi keperluan penduduk dengan penyakit mental. Data global[6] menunjukkan bahawa habya 2% daripada belanjawan kesihatan negara diperuntukkan kepada kesihatan mental.

Fasiliti dan perkhidmatan kesihatan mental semakin bertambah baik di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun yang lepas. Semua Hospital Besar dan Daerah di negara ini menyediakan perkhidmatan kesihatan mental. Bagaimanapun, ia jaug daripada memenuhi keperluan daripada jumlah beban penyakit mental di Malaysia. Beberapa kajian menyentuh kepada fakta bahawa penyakit mental tidak diberikan perhatian yang diperlukan akibat kekurangan sumber.

Pertubuhan bukan kerajaan menyediakan perkhidmatan kaunseling yang amat diperlukan dan sokongan komuniti tetapi kebanyakn daripadanya terletak di kawasan bandar dan terhalang oleh kekurangan sumber – kewangan dan sumber manusia.

Britain mengakui akan betapa pentingnya menganggap kesihatan mental dengan serius dan keperluan untuk pembiayaan yang lebih baik bagi kesihatan mental. Sesetengah langkah yang disarankan adalah latihan yang lebih baik di sekolah untuk mengenal pasti mereka yang menghadapinya dan memperketatkan lagi undang-undang pekerjaan supaya mereka yang memgambil cuti atas sebab isu kesihatan tidak dikenakan hukuman.

Kemurungan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan turut melibatkan kanak-kanak. Tiada seorang pun, baik yang kaya atau berkuasa yang kebal daripadanya. CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya menganggap cabaran penyakit mental ini dengan serius dan melancarkan dengan segera pelan tindakan untuk memerangi wabak ini. Beberapa saranan termasuklah:

·       Kesihatan mental perlu dimasukkan ke dalam semua pemeriksaan kesihatan dan rawatan kesihatan mental serta boleh diperolehi dengan mudah di peringkat penjagaan awal.

·       Meningkatkan belanjawan bagi rawatan penyakit mental memandangkan tiada penyelesaian segera bagi penyakit mental dan rawatan jangka panjang.

·       Seharusnya tiada diskriminasi terhadap mereka yang mengalami masalah mental di tempat kerja. Jika mereka yang menghidap diabetes atau tekanan darah tinggi boleh bekerja dengan baik dengan rawatan dan sokongan maka tiada alasan kenapa mereka yang mengalami penyakit mental perlu dilayan secara berbeza.

·       Ia juga perlu dijadikan mandatori bagi insurans kesihatan untuk melindungi penyakit mental.

·       Akses yang lebih mudah juga untuk perkhidmatan kaunseling di seluruh negara dan tidak sahaja di pusat bandar.

·       Mempengaruhi media massa dan media sosial bagi pendidikan kesihatan mental untuk orang ramai. Mengupayakan dan menyokong pertubuhan bukan kerajaan untuk mengendalikan program pendidikan mengenai isu ini.

 


World Health Organisation, ‘Depression and Other Common Mental Disorders, Global Health Estimates,’2017

[2] Vital Statistics Malaysia, 2015

[3] The Global Economic Burden of non-communicable diseases. Geneva. World Economic Forum and Harvard School of Public Health, 2011

[4]Amber Haque, “Mental health concepts and program development in Malaysia”, Journal of Mental Health, April 2005

[5], Mental Health Atlas, Country Profile, 2014, WHO

[6] World Health Organisation, The WHO MIND Project: Mental Improvement for Nations Development.

 

Surat Kepada Pengarang, 13 Mac 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt