Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Menepis Mitos Produk Tembakau ‘Heat-Not-Burn’

Sebagai maklum balas kepada kenyataan media terkini syarikat tembakau Philip Morris (M) Sdn. Bhd. (PMM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin mematahkan dakwaan tersebut.

Dalam kenyataan pembukaannya, PMM menyebut “kami ingin menegaskan bahawa produk bebas asap keluaran kami adalah bertujuan untuk memberikan pilihan yang lebih baik kepada perokok dewasa yang tidak mampu atau tidak mahu berhenti merokok”.

Kita sepatutnya bertanya kenapa perokok sukar untuk berhenti merokok. Jawapannya terletak kepada ‘ketagihan bahan kimia’ atau lebih tepat lagi, ‘ketagihan nikotina (nicotine)’. Nikotina ialah Racun Kelas C yang memerlukan preskripsi ahli farmasi untuk mendapatkannya, dan menimbulkan rasa ketagih seperti heroin dan kokaina (cocaine). Ini menjelaskan kenapa perokok mengalami kesan ‘withdrawal’ dalam masa 30 minit selepas penggunaan nikotina yang terakhir, dan kenapa mereka memerlukan tampalan nikotina untuk melegakan kesan ‘withdrawal’ nikotina.

Mengenai dakwaan PMM bahawa produk tembakau yang ‘heat-not-burn’ adalah ‘pilihan yang lebih baik’, kami ingin menegaskan bahawa ia bukanlah ‘pilihan yang lebih selamat.’

Surat itu selanjutnya menyatakan bahawa “pada Januari, Jawatankuasa Penasihat Saintifik Produk Tembakau (TPSAC), Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) AS menyimpulkan bahawa IQOS tidak menarik kepada bukan perokok dan remaja, memandangkan ia mengandungi tembakau dan mempunyai bahan perisa yang terhad”.

Namun kami tidak bersetuju dengan perkara ini. Remaja dan golongan lelaki muda mungkin akan mencuba produk berkenaan dan menjadi ketagih kepada nikotina sepanjang hayat, sama seperti dadah lain yang menagihkan. Ia bukan di sebabkan bahan perisanya, daripada cara  produk diletakkan oleh industri tembakau untuk menarik minat mereka. Bukankah alkaloid terasa agak pahit namun itu tidak menghalang mereka yang pertama kali mencubanya sehingga mereka sendiri akhirnya bergantung kepada ubatan tersebut?

Nama IQOS PMM adalah satu penipuan kerana ia adalah singkatan bagi “Saya Berhenti Merokok Biasa”, dan bagi bukan perokok dan remaja, ia mencerminkan bahawa menghisap rokok seperti biasa (kebiasaan merokok) tidak lagi kelihatan hebat tetapi merokok IQOS membuatkan anda nampak hebat. Ia hanyalah helah pengiklanan untuk bersaing memikat minda pengguna dan meletakkannya dalam pasaran. Kemunculan produk tembakau yang ‘heat-not-burn’, adalah peralihan paradigma untuk membantutkan usaha Konvensyen Kerangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC)  dalam mengurangkan rokok dan tabiat merokok.

Kami agak terperanjat apabila PMM berdiam diri kepada fakta bahawa Jawatankuasa FDA AS yang sama “mengundi hampir sebulat suara” (dengan seorang berkecuali) bahawa Philip Morris  International (PMI) tidak boleh mendakwa produk tembakau ‘heated’ (HTP) keluarannya mampu mengurangkan risiko penyakit yang dikaitkan dengan tembakau.”

Penyelidik mendapati plug tembakau (‘HeatStick’) yang digunakan di dalam produk tembakau seumpamanya menjadi hitam selepas digunakan dan ini menunjukkan berlaku pembakaran dengan ketiadaan udara.

Bagi paras rendah nikotina dan pengeluaran karbon dalam aerosol produk tembakau yang ‘heat-not-burn’ berkenaan, kami ingin menegaskan bahawa perokok memerlukan dos nikotina tertentu untuk menghentikan ketagihannya. Untuk menjayakannya, perokok cenderung menghisap dengan lebih dalam dan lama bagi menampung nikotina rendah daripada aerosol, dengan itu menaikkan paras bahan kimia lain yang terkandung dalam aerosol tersebut.

Sungguhpun syarikat pengeluar tembakau terbesar di Malaysia mengeluarkan dan menjual produk tembakau ‘heat-not-burn’ dan lain-lain produk yang tidak mengeluarkan asap di Jepun, Korea serta banyak negara lain, ia bukan bermakna alat itu selamat untuk digunakan. Satu hal yang perlu difikirkan: Adakah alat ‘heat-not-burn’ yang dijual di Malaysia diimport sebagai produk tembakau atau sebagai alat elektronik? Adakah pembungkusannya mematuhi Peraturan Kawalan Tembakau Malaysia yang menghendaki dipaparkan amaran kesihatan bergambar di atasnya.

PMI mendakwa produk tembakau ‘heat-not-burn’ itu telah dimajukan selama bertahun-tahun menerusi penyelidikan dan kukuh secara saintifik. Bagaimanapun, tidak pula dinyatakan tidak ada paras pendedahan yang selamat kepada bahan karsinogen, dan kanser mungkin mengambil masa beberapa dekad untuk berkembang. Bagi PMI mendakwa bahawa produk keluarannya selamat adalah agak tidak matang, namun penyelidikan bebas telah menunjukkan ia tidak sama dengan apa yang berlaku.

Institut Persekutuan Jerman bagi Penilaian Risiko, dan Institut Kebangsaan Belanda bagi Kesihatan Awam dan Alam Sekitar serta beberapa pertubuhan lain “menyokong” paras rendah bahan kimia di dalam aerosol namun berdiam diri mengenai beberapa perkara lain yang membimbangkan. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, paras rendah bahan kimia di dalam aerosol bukan bermakna produk itu lebih selamat.

Sehubungan itu, kami ingin menggesa kerajaan agar mengharamkan peralatan seperti itu memandangkan ia akan menggantikan kaedah kebiasaan merokok. Kita perlu menimbangkan fakta bahawa kaitan di antara kanser paru-paru dan merokok telah didedahkan pada tahun 1950 sebelum penyakit lain yang dikaitkan dengan merokok ditemui. Sehingga ke hari ini, iaitu selepas hampir tujuh dekad, kerajaan masih bergelut untuk menurunkan kadar merokok di negara masing-masing. Jika beginilah keadaannya, kerajaan perlu menghentikan wabak ini sekarang sebelum ia menjangkiti generasi kita pada masa depan.

 

Kenyataan Akhbar, 19 Disember 2018

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt