Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Haramkan mikroplastik dalam kosmetik dan produk dandanan diri – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengharamkan mikroplastik dalam produk dandanan diri dan komestik berikutan ancaman kesihatan dan persekitaran yang dikaitkan dengan zarah plastik ini.

Sejak 50 tahun lalu, mikrozarah plastik atau mikroplastik telah digunakan dalam produk dandanan diri dan kosmetik, yang menggantikan penggunaan bahan asli dalam pelbagai rumusan kosmetik dan produk dandanan diri.

Zarah mikroplastik  ini, ada yang sekecil 1 mikrometer (satu persejuta daripada satu meter) hingga kepada nisbah nano. Mikroplastik digunakan dalam pelbagai rumusan “sapu dan bilas” seperti deodoran, syampu, pelembut, gel mandian, gincubibir, pewarna rambut, krim pencukur, pelindung matahari, penghapus serangga, krim pencegah kedutan, pelembap, semburan rambut, mask (topeng) muka, produk penjagaan bayi, pembayang mata dan maskara. Ia digunakan bagi pelbagai tujuan seperti membantu penyerapan bahan aktif, pembentukan filem (lapisan nipis), pengelupasan, mengawal kelikatan serta pelbagai kegunaan lain.

Saiz zarah yang digunakan pula bergantung kepada fungsi rumusan berkenaan. Saiz kebanyakan mikroplastik yang terkandung dalam kosmetik dan produk dandanan diri di pasaran sekarang adalah antara 1 hingga 50 mikrometer.

Mikroplastik dan ramuan plastik lain terkandung dalam pelbagai produk dengan peratusan yang berbeza , iaitu daripada kurang 1% kepada melebihi 90% dalam sesetengah keadaan. Misalnya gel mandian pengelupasan  (untuk menyingkirkan kulit mati) boleh mengandungi mikroplastik dalam nisbah yang sama dengan pembuatan plastik pembungkusnya.

Berikutan saiz yang begitu halus, zarah-zarah ini mengalir terus ke longkang lalu masuk ke dalam sumber air, hingga menyumbang kepada pencemaran plastik dalam lautan yang membimbangkan.

Satu tinjauan yang dijalankan oleh CAP mendapati label produk kegunaan harian seperti gel mandian dan skrub muka menyatakan ia mengandungi mikroplastik. Terdapat juga produk yang mengandungi sebatian plastik yang dilabel sebagai ‘acrylates’, yang menunjukkan produk ini mengandungi bahan mikroplastik.

Produk yang melabelkan mikroplastik sebagai bahan ramuan dihasilkan di luar negara. Bagaimanapun kebanyakan produk tempatan tidak dilabel dengan sempurna yang menunjukkan penggunaan mikroplastik. Memandangkan produk kosmetik yang dikeluarkan di Malaysia tidak melabel bahan ramuan yang digunakan, pengguna sukar untuk mengelak produk yang mengandungi mikroplastik.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mikroplastik yang mengalir dalam longkang tidak boleh dikumpulkan semula atau dikitar semula; begitu juga, ia tidak terurai dalam fasiliti rawatan untuk sisa air.  Sebaliknya ia akan berada di lautan di mana ia kekal di situ dan mungkin mengambil masa ratusan tahun untuk mengurai.

Hasil kajian menunjukkan zarah mikroplastik boleh menyerap dan membebaskan bahan kimia toksik seperti bahan cemar organik kekal (POPs) seperti dichlorodiphenyltrichloroethane (DDT) dan polychlorinated biphenyls (PCBs). Mikroplastik yang bertoksik ini mudah dimakan oleh hidupan laut seperti ikan, kepah dan organisma akuatik lain, dengan itu mencemarkan rantaian makanan laut dan mendedahkan risiko bahaya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Beberapa kajian menunjukkan mikroplastik yang berada di dalam laut membunuh ikan dan menghalang pembesarannnya. Sesetengah ikan yang masih kecil didapati lebih menggemari zarah plastik yang halus ini berbanding sumber makanan semula jadi, hingga memudaratkannya sebelum sempat membiak.

Zarah-zarah plastik yang masuk ke dalam alam sekitar misalnya menerusi sisa air atau larian biopepejal berpotensi dimakan sebagai makanan oleh organisma akuatik dan memasuki rantaian makanan. Satu lagi cara ialah menerusi insangnya. Mikroplastik dalam persekitaran lautan berpotensi bergerak dalam jarak yang jauh dengan terapung dalam air laut atau menjadi mendapan dasar laut.

Mikroplastik ini tidak berupaya memineral pada kadar yang boleh diukur dalam alam sekitar,  sama ada melalui penguraian bio ataupun melalui proses foto dan/atau degradasi termal. Jangkaan separuh hayatnya adalah sekitar ratusan tahun iaitu jauh lebih lama daripada mana-mana bahan cemar organik yang kekal.

Selain mencemarkan alam sekitar, mikroplastik juga menimbulkan masalah yang rumit dalam persekitaran lautan dengan kesan yang sukar difahami.

Tindakan yang diambil oleh negara lain

  • Kerajaan UK akan memperkenalkan pengharaman mikroplastik daripada semua kosmetik pada penghujung 2017. Penjualannya akan diharamkan di UK pada penghujung 2017 juga.
  • Illinois menjadi negeri pertama di AS yang memaktubkan undang-undang yang mengharamkan pengeluaran dan penjualan produk yang mengandungi mikroplastik. Pengharaman yang dibahagikan kepada dua bahagian itu akan berkuatkuasa pada 2018 dan 2019.
  • Austria, Belanda, Belgium, Luxembourg dan Sweden membuat gesaan bersama ke arah mengharamkan penggunaan mikroplastik dalam produk dandanan diri.

Beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan dalam ASEAN, menerusi rayuan atas talian, menggesa pengharaman serantau mikroplastik dalam pengeluaran kosmetik dan produk dandanan diri.

Sehubungan dengan ancaman dan bahaya yang dikaitkan dengan mikroplastik, CAP menggesa pihak berkuasa supaya melarang pengeluaran, pengimportan, pengedaran dan penjualan produk dandanan diri dan kosmetik yang mengandungi mikroplastik.

Kenyataan Akhbar, 6 April 2017

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt