Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kemurungan: Kehilangan Upaya Utama Dunia

Laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai ‘Kemurungan dan Gangguan Mental Biasa Lain menganggarkan bahawa pada 2015 terdapat lebih 1.1 juta kes gangguan kemurungan di Malaysia[1]. Laporan itu seterusnya menyatakan kemurungan merupakan penyumbang utama kepada kematian akibat membunuh diri dengan angka 800,000 atau 1.5% daripada semua kematian di seluruh dunia. Jika kita mengekstrapolasi anggaran ini di negara ini, pada 2015 lebih 155,000 kematian direkodkan di Malaysia[2] kira-kira 2,300 akibat membunuh diri. Malangnya tiada perangkaan diterbitkan bagi kes bunuh diri di Malaysia.

Kemurungan disenaraikan oleh WHO sebagai penyumbang terbesar utama kepada kehilangan upaya. Di seluruh dunia jumlah bilangan mereka yang mengalami kemurungan adalah dianggarkan 322 juta pada 2015, bersamaan 4.4% daripada penduduk dunia. Anggaran jumlah bilangan mereka yang mengalami kemurungan meningkat 18.4% antara 2005 dan 2015.

Menurut satu lagi laporan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Sekolah Kesihatan Awam Harvard[3], gangguan kesihatan mental merupakan kehilangan produktiviti paling tinggi. Sebahagian besar daripada ini berpunca akibat kemurungan memandangkan gangguan kemurungan merupakan bentuk penyakit mental paling biasa.

Jumlah kos penyakit mental dunia (rawatan dan kehilangan produktiviti) adalah dianggarkan AS$2.5 trilion pada 2010 dan diramalkan meningkat kepada AS$6.0 trilion menjelang 2030. Ini lebih tinggi berbanding penyakit tidak berjangkit lain seperti penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser.

Ciri-ciri gangguan kemurungan adalah kesedihan, hilang minat atau gembira, rasa bersalah atau hilang keyakinan diri, gangguan tidur atau selera makan, rasa letih dan kurang tumpuan. Kemurungan boleh berpanjangan atau berulang semula, menjejaskan kemampuan individu untuk berfungsi di tempat kerja atau sekolah atau berdepan dengan kehidupan seharian. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa walaupun wanita cenderung untuk mengalami kemurungan lebih tinggi berbanding lelaki.

Persoalannya ialah sejauhmanakah persediaan kita sebagai sebuah negara dalam menangani krisis ini. Sejak data kesihatan mental dalam Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 dikeluarkan, Kementerian Kesihatan tidak mengumumkan sebarang langkah konkrit untuk menangani isu ini. Rawatan kemurungan memerlukan pasukan profesional yang terdiri daripada psikiatri dan psikologis memandangkan kaunseling dan ubatan mestilah seiring.

WHO menyarankan nisbah sekurang-kurangnya 1 psikiatri kepada 100,000 pesakit di negara membangun[4]. Nisbah di Malaysia adalah 1 psikiatri kepada 125,000 pesakit[5] dan 1 psikologis kepada 110,000 pesakit. Angka ini adalah purata dan situasinya mungkin lebih tinggi di kawasan luar bandar di mana nisbah boleh menjadi setinggi 1 profesional kepada 200,000 pesakit. Sistem kesihatan di seluruh dunia bergelut untuk memenuhi keperluan mereka yang menghidap penyakit mental. Data global[6] menunjukkan bahawa hanya 2% daripada bajet kesihatan kebangsaan diperuntukkan kepada kesihatan mental.

Kemudahan dan perkhidmatan kesihatan mental semakin bertambah baik di Malaysia sejak beberapa tahun ini. Semua Hospital Besar dan Daerah di negara ini menyediakan perkhidmatan kesihatan mental. Bagaimanapun ia masih jauh daripada memenuhi keperluan jumlah beban penyakit mental di Malaysia. Beberapa kajian secara tidak langsung membawa kepada hakikat bahawa penyakit mental tidak diberikan perhatian yang sepatutnya akibat kekurangan sumber.

Pertubuhan Bukan Kerajaan menyediakan perkhidmatan kaunseling yang diperlukan dan sokongan komuniti tetapi kebanyakan daripadanya terletak di kawasan bandar dan terhalang oleh kekurangan sumber – kewangan dan tenaga kerja. Oleh itu kebanyakan perkhidmatan kaunseling disediakan hanya dalam tempoh waktu yang khusus, biasanya waktu pejabat atau melalui temu janji.

Britain baru-baru ini mengakui betapa pentingnya kesihatan mental ditangani dengan serius dan keperluan untuk pembiayaan yang lebih baik untuk kesihatan mental. Beberapa langkah yang disarankan ialah latihan yang lebih baik di sekolah untuk mengenal pasti pelajar yang berhadapan dengannya dan menguatkan lagi undang-undang pekerjaan supaya mereka yang mengambil cuti bagi masalah kesihatan mental tidak dikenakan hukuman.

Kemurungan boleh dialami oleh sesiapa sahaja. Tiada seorang pun bagaimana kaya atau berkuasanya mereka tidak dapat mengelak daripadanya. Malangnya ia sering tidak dikesan dan dirawat. CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya melihat penyakit mental sebagai satu cabaran yang serius dan melancarkan dengan segera pelan tindakan untuk memerangi kesengsaraan ini. Beberapa saranan termasuklah:

·         Kesihatan mental perlu dimasukkan dalam semua pemeriksaan perubatan dan rawatan penyakit mental seharusnya mudah untuk diperolehi diperingkat jagaan awal.

·         Meningkatkan bajet untuk rawatan penyakit mental memandangkan tiada cara mudah bagi penyakit mental dan rawatannya adalah dalam jangka panjang.

·         Seharusnya tiada sebarang diskriminasi terhadap mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental di tempat kerja. Jika mereka yang menghidap diabetes atau tekanan darah tinggi boleh bekerja dengan baik dengan rawatan dan sokongan maka tiada sebab kenapa mereka yang mengalami penyakit mental perlu dilayan dengan cara berbeza.

·         Perlu dijadikan mandatori bagi insurans kesihatan untuk melindungi penyakit mental.

·         Akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan kaunseling di seluruh negara dan tidak hanya di pusat bandar.

·         Memperluaskan lagi pengaruh media massa dan sosial bagi pendidikan kesihatan mental untuk orang ramai. Menguatkan dan menyokong pertubuhan bukan kerajaan untuk menjalankan program seperti itu.


[1] World Health Organisation, ‘Depression and Other Common Mental Disorders, Global Health Estimates,’2017
[2] Vital Statistics Malaysia, 2015
[3] The Global Economic Burden of non-communicable diseases. Geneva. World Economic Forum and Harvard School of Public Health, 2011
[4] Amber Haque, “Mental health concepts and program development in Malaysia”, Journal of Mental Health, April 2005
[5] Mental Health Atlas, Country Profile, 2014, WHO
[6]World Health Organisation, The WHO MIND Project: Mental Improvement for Nations Development.

Kenyataan Akhbar,30 Mac 2017

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt