Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Mainan Kejutan Untuk Kanak-Kanak

Di samping beberapa alat permainan berbahaya yang dijual di pasar raya, kedai dan gerai di seluruh negara, terdapat alat permainan baharu yang mampu untuk memberikan kejutan elektrik kini telah muncul kembali.

Perkara ini telah diperolehi dalam satu tinjauan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan kami telah membeli “Shock Chewing Gum” dengan harga RM6.00.

Bentuknya seakan-akan gula-gula getah Wrigley’s yang lengkap dengan ramuannya. Kepingan ‘gula-gula getah’ ini menjulur keluar untuk ditarik. Apabila seseorang itu menarik ‘gula-gula getah’ ini, ia akan mencetuskan suis yang menghantar caj elektrik melalui tangan seseorang itu. Orang ini akan merasa kejutan elektrik melalui tangannya.

Alat mainan ini juga terdapat dalam bentuk pen dan pistol mainan yang mana mereka yang menggunakan pen atau memetik picu pistol akan merasa kejutan elektrik.

Kami merayu kepada mereka yang memiliki atau ingin membeli alat permainan ini supaya mempertimbangkan dengan serius jika mereka mahu mencederakan rakan mereka dengan menganggapnya sebagai “seronok”. Mereka mungkin fikir ia sesuatu yang menggembirakan tetapi tidak bagi mereka yang mengalami kesakitan di samping berpotensi bahaya kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Dilaporkan seorang guru di Sacramento, Amerika Syarikat, menerima kejutan daripada pen yang diberikan oleh pelajarnya dan tidak mampu untuk menggunakan tangannya sementara waktu dan kemudiannya merasa pening “dalam beberapa hari”. Beliau sebelum ini seorang yang sihat tetapi selepas insiden itu doktornya mendiagnosisnya sebagai penderita aritmia dan kerosakan saraf tangan.

Alat permainan seperti itu telah diharamkan di beberapa sekolah daerah di Amerika Syarikat. Negara seperti Greece dan Cyprus telah mengharamkan alat permainan seperti ini.

Bungkusan bahan itu menyatakan amaran bahawa permainan itu tidak seharusnya diberikan kepada kanak-kanak berusia di bawah 15 tahun, mereka yang melebihi 50 tahun dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Bagaimanapun, siapakah yang memantau pembelian dan penggunaan alat mainan ini? Pada hakikatnya, semua orang boleh membeli dan menggunakannya kepada semua orang memandangkan ia menyasarkan kanak-kanak untuk membelinya dan adakah mereka akan patuh kepada amaran yang bertulis kecil itu di atas bahan bungkusan? Adakah kanak-kanak tahu dan peduli jika seseorang itu mempunyai masalah jantung atau sawan dan ia tidak sepatutnya digunakan ke atas orang yang menggunakan alat perentak jantung atau alat elektronik lain dalam tubuh mereka?

CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya segera mengambil tindakan keras, merampas dan mengharamkan semua produk alat permainan seperti ini yang dijual di pasaran. Mereka juga perlu menentukan bagaimana produk seperti ini diimport ke negara ini.

Kementerian Kesihatan juga perlu menangani kesan seseorang apabila terdedah kepada alat permainan seperti itu.

Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga perlu dengan segera melihat perkara ini memandangkan pengeluar alat mainan ini telah meniru gula-gula getah Wrigley’s dan menjualnya sebagai alat mainan berbahaya. Jika ia bukan alat mainan berbahaya kenapa pihak pengeluar meletakkan tanda amaran kesihatan pada mainan dan bungkusannya?

Ia satu cara mudah untuk melepaskan diri daripada saman undang-undang dalam kes sekiranya berlaku kemalangan.

Tambahan pula, undang-undang menyatakan bahawa pengeluar alat mainan kanak-kanak dan pengedarnya perlu mendaftar mesti melampirkan Certificate of Conformance untuk mendapatkan logo MC KPDNKK yang disahkan bagi setiap alat mainan sebelum ia boleh dipasarkan.

Kementerian Kesihatan juga perlu menangani kesan kesihatan seseorang apabila terdedah kepada alat mainan seperti itu.

CAP menggesa pihak berkuasa berkenaan mengharamkan alat permainan jenis ini kerana ia bukanlah sesuatu yang baharu kepada seseorang yang mengalami trauma dan kesakitan akibat kejutan elektrik. Kami juga ingin mengetahui bagaimana alat mainan berbahaya ini boleh diimport dan dijual secara terang-terangan dengan pengetahuan pihak berkuasa.

Kenyataan Akhbar, 9 Februari 2018

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt