Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

LIABILITI TANPA KESALAHAN: BIARLAH ORANG AWAM TENTUKAN

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sesungguhnya percaya bahawa pengguna akan mendapat manfaat daripada Liabiliti Tanpa Kesalahan (No Fault Liability atau ringkasnya NFL) sama seperti pekerja menikmati faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang beroperasi atas prinsip NFL. Jika PERKESO telah meniti kejayaan lebih empat dekad, kenapa tidak NFL mengecapi kejayaan yang sama?

CAP tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan pengerusi Majlis Peguam, Kuthubul Zaman Bukhari bahawa “sebarang langkah untuk memperkenalkan skim Liabiliti Tanpa Kesalahan (NFL) akan menyebabkan pemandu kenderaan terpaksa membayar premium yang lebih tinggi”. Kenyataan itu tidak berasas sama sekali.

Di bawah sistem semasa, kira-kira 30 peratus dari premium akan dibayar untuk komisen ejen insurans dan biaya pengurusan. Sekiranya yuran guaman dipotong maka mangsa akan menerima pampasan kurang daripada 50 peratus.

Sebaliknya, skim NFL tidak mengenakan bayaran komisen dan tidak perlu membayar yuran guaman. Tambahan pula, yuran pengurusan NFL akan kurang 10 peratus daripada jumlah kutipan, seperti yang dapat dilihat daripada akaun PERKESO yang diaudit. Oleh itu,  90 peratus daripada jumlah terbabit boleh didapati sebagai pampasan dan boleh memulihkan keadaan mangsa serta membolehkan mereka menikmati faedah-faedah lain. Sehubungan itu, bertentangan dengan dakwaan Encik Kuthubul, bayaran premium bagi NFL sepatutnya lebih rendah.

Sementara itu Persatuan Aktuari (Penilaian) Malaysia berkata ia menjangkakan nyahtarif dalam sistem insurans kenderaan bermotor berdasarkan kesalahan yang ada masa kini menjadi punca kenaikan bayaran premium. Ia menjelaskan “berikutan tindakan nyahtarif yang membabitkan urusniaga tarif dan Permotoran, kadar premium dijangka meningkat bagi perniagaan Permotoran yang akan mendatangkan penambahbaikan dalam nisbah kehilangan motor daripada kerugian semasa atau dalam keadaan pulang modal.”

Kos pengendalian NFL sebenarnya minimum sahaja, pada asasnya menghapuskan yuran guaman dan pencari pelanggan haram (touts) daripada sistem berdasarkan kesalahan semasa akan disingkirkan. Tambahan pula, di bawah sistem berdasarkan kesalahan, mangsa terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum  menerima pampasan berikutan proses mahkamah yang panjang dan rumit. Dalam waktu itu, mangsa akan dibebani dengan yuran perubatan dan hospital selain terpaksa melangsaikan bayaran lain yang jumlahnya mungkin agak besar.

Apabila pampasan sudah dibayar, pihak peguam akan mengenakan yuran luar jangka sekitar 20-30 peratus daripada pampasan berkenaan. Bayaran selebihnya akan digunakan untuk melangsaikan bayaran perubatan/hospital ataupun biaya pengkebumian (jika mangsa meninggal dunia). Akhirnya baki yang tinggal mungkin terlalu sedikit atau tiada langsung. Sekiranya mangsa memerlukan rawatan perubatan/pemulihan dalam jangka panjang, ataupun jika ia mengalami kecacatan kekal, keluarganya mungkin menanggung hutang atau mengalami masalah kewangan yang serius.

Di dalam laporan 2016, ia mendedahkan bahawa ‘touts’ akan cuba mempengaruhi ahli keluarga mangsa kemalangan dengan  “memberikan” kira-kira RM1,000.00 bagi perbelanjaan dan kemudian meminta mangsa atau saudara terdekatnya supaya menandatangani dokumen untuk menyerahkan kes itu kepada firma guaman yang diwakili oleh ‘tout’ berkenaan. Sebaik pampasan diterima, ‘tout’ akan mengenakan “caj perkhidmatan” sehingga setinggi 25% daripada jumlah terbabit selain menuntut bayaran yang dibelanjakannya ke atas kes tersebut. Dia mungkin akhirnya menerima sehingga 40% daripada nilai keseluruhan tuntutan insurans.

NFL sebaliknya memastikan mangsa kemalangan kenderaan bermotor dijaga dari sudut kewangan dan menerima rawatan perubatan (jika perlu, sepanjang hayatnya bagi keadaan hilang upaya kekal) tanpa perlu menunggu hasil prosedur perundangan yang mahal dan rumit.

NFL ternyata menjadi ancaman kepada peguam memandangkan mangsa kemalangan tidak memerlukan khidmat mereka untuk membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah untuk mendapatkan pampasan bagi membayar yuran perubatannya.

CAP berpendapat keperluan kewangan mangsa yang tercedera ataupun tanggungan si mati adalah jauh lebih penting dan perlu ditangani dengan secepat mungkin tanpa mereka perlu menunggu hasil proses perundangan.  Mendakwa dan menghukum pelaku kesalahan jalan raya boleh dilakukan di bawah undang-undang kemalangan jalan raya.

Surat kepada Pengarang, 6 Julai 2017

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt