Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Gula dan Diabetes

Sungguhpun punca sebenar diabetes masih belum difahami sepenuhnya, namun pengambilan gula berlebihan diketahui turut memainkan peranan secara tidak langsung. Pengambilan gula yang tinggi semata-mata mungkin tidak menyebabkan diabetes namun ia boleh menjadi penyumbang utama pertambahan berat badan dan obesiti – faktor-faktor yang jelas merangsang diabetes.

Para penyelidik dari seluruh dunia telah membuat kesimpulan bahawa pengambilan gula yang diproses boleh menjejaskan kesihatan mereka yang tidak menghidap diabetes dan membahayakan mereka yang menghidapnya.

Semakan ke atas 88 kajian yang diterbitkan mempamerkan hubungan  yang jelas dan mantap di antara amalan minuman ringan bergula (bukan diet) dan tabiat pemakanan yang buruk menambah risiko obesiti – dan  menambah risiko diabetes.

Tidak dinafikan minuman ringan yang kaya dengan gula mempunyai “kesan buruk ke atas kesihatan.” Dr Kelly Brownell, pengarah Pusat Dasar Makanan dan Obesiti Rudd, Universiti Yale di New Haven, Connecticut, AS berkata menerusi perbualan telefon dengan Reuters Health.

Hasil kajian ke atas 91,000 wanita yang dipantau selama 8 tahun menunjukkan hubungkait yang paling menarik di antara minuman ringan dan kesannya ke atas kesihatan, kata penyelidik terbabit di dalam Jurnal Kesihatan Awam Amerika (April 2007).

Di dalam kajian itu, wanita yang minum 1 atau lebih soda sehari – jumlah yang kurang daripada purata kebangsaan AS – dua kali cenderung mengembangkan diabetes berbanding mereka yang minum kurang daripada 1 soda sebulan, sepanjang tempoh kajian tersebut.

Apabila diet soda menggantikan soda biasa di dalam analisis itu, risikonya tidak meningkat, dan ini “menyarankan risikonya khusus kepada minuman ringan yang diperkaya gula,” kata pengarang.  

Hasil Ujian Berbeza dari Industri

Terdapat perbezaan yang ketara dalam hasil ujian yang dikemukakan oleh kajian yang dibayai oleh pihak industri dan bukan pihak industri berhubung pengambilan minuman ringan dan kesannya ke atas kesihatan. Brownell berkata, “dalam kajian yang dibiayai oleh industri, ia lebih cenderung menunjukkan hasil yang memihak kepada industri”.

“Isu yang lebih besar di sini, dalam arena ini khususnya tetapi dari sudut sains amnya,” kata Brownel,l “ialah bagaimana anda mendapat realiti yang dipesongkan jika kajian hasil biaya industri diambil kira secara bergabung – dan biasanya memang begitulah keadaannya – terutama, apabila pihak industri menggunakan kajian ini dalam pengiklanan, melobi, dan memaklumkannya kepada pihak media.”

Dua Jenis Diabetes

Terdapat dua jenis diabetes: Jenis 1 berkembang apabila sel-sel yang menghasilkan insulin di dalam pankreas – yang membantu mengawal paras gula dalam darah – telah musnah. Jenis 2 biasanya muncul apabila tubuh tidak lagi mampu memberi tindak balas yang normal kepada insulinnya sendiri dan/atau tidak menghasilkan insulin yang secukupnya.

Diabetes Jenis 1 adalah penyakit autoimun. Penyakit seumpamanya berlaku apabila sistem tubuh yang melawan jangkitan (iaitu sistem imun) menentang satu bahagian tubuh. Dalam diabetes, sistem imun menyerang dan memusnahkan sels-sel beta yang menghasilkan insulin di dalam pankreas. Pankreas kemudian menghasilkan terlalu sedikit insulin atau mungkin tiada langsung. Orang yang menghidap diabetes Jenis 1 perlu mengambil insulin setiap hari untuk hidup.

Tetapi diabetes yang lebih umum ialah diabetes Jenis 2. Kira-kira 90-95% penghidap diabetes menghidap diabetes Jenis 2, menurut perangkaan Amerika. Diabetes jenis ini sering dikaitkan dengan golongan  yang lebih tua, obesiti, sejarah keluarga penghidap diabetes, sejarah lalu diabetes gestational, tidak aktif dari segi fizikal, dan kaum tertentu.

Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan cenderung menghidap diabetes Jenis 2. Bagaimanapun, diabetes jenis 2 semakin banyak dikesan dalam tubuh kanak-kanak dan remaja.

Pelbagai Komplikasi Kesihatan

Diabetes boleh mengembangkan pelbagai masalah kesihatan yang membawa kepada serangan jantung, strok dan masalah kesihatan lain. Bagi penghidap diabetes, paras gula darah mereka kekal tinggi dan gula dalam paras tinggi itu adalah toksik (beracun). Selepas bertahun-tahun paras gula darah yang tinggi itu merosakkan saraf serta saluran darah kecil dan besar. Masalah ini akhirnya akan menyebabkan kebutaan, kegagalan buah pinggang, anggota tubuh terpaksa dipotong, serangan jantung pramatang dan strok.

Misalnya:

• Setiap 30 saat,  sebelah kaki terpaksa dipotong akibat diabetes di mana-mana bahagian dunia. Malah, sehingga 70% kaki yang dipotong berlaku kepada penghidap diabetes (Star, 13.11.05). Di Malaysia, terdapat ribuan kes kaki yang terpaksa dipotong dalam setahun. Kira-kira 85% daripadanya adalah diabetik. (Star, 15.10.2006).

• Kira-kira 1.2 juta penduduk Malaysia menderitai diabetes retinopati, penyakit mata yang biasa dialami oleh penghidap diabetes yang menyebabkan kebutaan (NST, 11.10.2007).

• Sekurang-kurangnya 57% penduduk Malaysia yang menderitai penyakit buah pinggang juga merupakan pesakit diabetik. Kira-kira 15,000 pesakit di negara ini mendapatkan rawatan hemodialisis dengan purata 3,000 kes kegagalan buah pinggang yang dilaporkan setiap tahun, kata pakar perunding dan nefrologis Hospital Island, Dr Goh Huck Keen (Star, 7.4.2008).

Diabetes juga membuatkan pesakit hilang upaya dan penurunan kualiti kehidupan apabila  usia semakin meningkat. Menurut satu kajian pada 2002, wanita lebih berusia yang menghidap diabetes dua kali ganda berbanding wanita bukan diabetik tidak mampu melakukan tugas seperti berjalan sejauh suku batu, menaiki 10 anak tangga mahupun memasak makanan mereka sendiri.

Berapa ramai yang terlibat:

Seorang dalam 20 penduduk dewasa dunia kini menghidap diabetes (Phyllis A. Balch dalam Prescription for Dietary Wellness). Diabetes menyerang 246 juta penduduk di seluruh dunia pada tahun 2006 [“Insulin Delivery System Market analysis (2007 – 2010)”, RNCOS]. Terdapat 6 kematian akibat diabetes setiap minit di dunia (WHO, 2004).

Kira-kira 25% negara di dunia masih belum membuat peruntukan khusus bagi penjagaan diabetes di dalam pelan kesihatan kebangsaan sungguhpun kesan diabetes ke atas manusia dan ekonomi boleh dikurangkan dengan banyaknya melalui pelaburan dalam  pencegahannya, terutama pengesanan di peringkat awal untuk mengelak komplikasi diabetes tercetus  (Diabetes Australia – NSW)

Di Malaysia kira-kira 3.5 juta penduduk menghidap diabetes (NST, 12.6.06) . Kira-kira 98% daripada mereka menghidap diabetes Jenis 2 (Star, 3.4.07).
 

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt